
Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata keputusan itu dibuat atas dasar tanggungjawab dan keprihatinan bagi memastikan kebajikan serta masa depan pendidikan kanak-kanak terbabit terus terpelihara.
“Ini bukan sekadar bantuan sementara, tetapi satu komitmen jangka panjang bagi memastikan pendidikan mereka terus terbela,” katanya dalam satu kenyataan.
Aqif Amsyar, 9, dan Atif Izz Rayqal merupakan anak kepada Amirul, 33, yang maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh pemandu mabuk di Jalan Raya Barat, Klang, Ahad lalu.
Menurut Asyraf, Mara akan menyalurkan bantuan elaun bulanan sebanyak RM120 seorang ketika di peringkat sekolah rendah dan akan dinaikkan kepada RM150 apabila mereka melangkah ke sekolah menengah.
“Bantuan ini turut disertai pemantauan berterusan sehingga mereka menamatkan persekolahan,” katanya.
Beliau menegaskan, inisiatif itu mencerminkan komitmen Mara dalam memastikan kebajikan anak-anak yang terkesan akibat tragedi tidak dipinggirkan, khususnya dalam aspek pendidikan jangka panjang.
Terdahulu, Asyraf sempat berbual menerusi panggilan video dengan ibu Amirul, Faridah Ahmad untuk berkongsi rasa duka atas tragedi yang menimpa keluarga mereka.
Ahad lalu, media melaporkan seorang penunggang motosikal maut dirempuh kereta dipandu lelaki bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kejadian di Klang.
Dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi itu, mangsa melambung ke udara selepas dirempuh kereta yang masuk ke laluan bertentangan sebelum terjatuh di atas bumbung sebuah lagi kereta.