Pembenihan awan akan dilaksana apabila keadaan sesuai

Pembenihan awan akan dilaksana apabila keadaan sesuai

Pihak berkuasa dalam keadaan siapsiaga untuk melaksanakan operasi pembenihan awan.

Kuching dilanda jerebu yang menyesakkan barat Sarawak dan pantai barat Semenanjung sejak beberapa hari lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Operasi pembenihan awan (OPA) bagi mengurangkan kesan jerebu terutama di negeri-negeri pantai barat Semenanjung dan barat Sarawak akan segera dilaksanakan sekiranya keadaan atmosfera sesuai.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam kenyataan hari ini berkata Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melalui MET Malaysia sudah berada dalam keadaan siapsiaga untuk melaksanakan OPA dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara dan tentera udara.

“Namun operasi hanya akan dilakukan sekiranya keadaan atmosfera berada dalam keadaan yang sesuai…MET Malaysia sentiasa memantau keadaan itu dari semasa ke semasa dan akan segera melaksanakan OPA apabila keadaan sesuai,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kemungkinan untuk berlaku hujan lebat di Malaysia, selain Sumatera dan Kalimantan, Indonesia yang ketika ini berlaku peningkatan bilangan titik panas, adalah rendah dalam tempoh seminggu yang akan datang.

Orang ramai dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti luar dan sentiasa memakai penutup muka, serta turut dinasihatkan untuk minum air yang banyak dan tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka dalam tempoh ini.

Maklumat dan ramalan cuaca terkini daripada MET Malaysia boleh diperoleh melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi myCuaca dan media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.