Perbicaraan 1MDB tangguh, Najib sakit mata lagi

Bekas perdana menteri Najib Razak sekali lagi diserang jangkitan mata.

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes 1MDB terhadap Najib Razak ditangguhkan hari ini kerana bekas perdana menteri itu mengalami jangkitan mata.

Peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bahawa beliau menerima panggilan daripada isteri Najib, Rosmah Mansor, memaklumkan Najib mengalami konjunktivitis.

“Dia keluar bersiar-siar semalam, dan cuaca juga berjerebu.

“Dia kini berada di rumah dan akan berjumpa pakarnya hari ini,” kata Shafee sambil menambah beliau menyerahkan salinan sijil perubatan Najib kepada mahkamah.

Pendakwa Raya Gopal Sri Ram kemudian berkata saksi pendakwaan Amhari Efendi Nazaruddin tidak dapat meneruskan mengenal pasti beberapa individu tanpa kehadiran tertuduh.

Sequerah bertanya sama ada pihak pembelaan dan pendakwaan bersetuju untuk prosiding perbicaraan hari ini ditangguhkan ke mana-mana Jumaat bulan ini.

Bagaimanapun, Shafee berkata beliau tidak lapang pada Jumaat kerana beliau mengetuai pasukan pembelaan dalam kes pembunuhan Nazrin Hassan, ketua pegawai eksekutif Cradle Fund.

Sri Ram juga berkata pasukannya mempunyai kes lain pada Jumaat.

Ini adalah kali kedua Najib tidak dapat menghadiri perbicaraan kerana jangkitan mata.

Beliau juga didiagnosis dengan jangkitan dalam kes SRC International di mana beliau menghadapi 7 tuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Dalam kes 1MDB, beliau berdepan dengan perbicaraan bagi 25 tuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram atas pemindahan wang RM2.28 bilion, yang didakwa daripada dana pelaburan itu.