Lonjakan harga minyak untungkan Malaysia, kata penganalisis

(Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Malaysia merupakan antara negara yang mendapat manfaat daripada lonjakan harga minyak selepas kemudahan petroleum Arab Saudi diserang sehingga dikhuatiri menjejaskan lebih daripada 5% bekalan global, kata penganalisis.

Niaga hadapan minyak minyak mentah Brent naik mendadak 18% semalam, selepas kemudahan Abqaiq dan medan minyak Khurais di Arab Saudi diserang pesawat dron yang dilancarkan militan Houthi di Yaman.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga minyak yang lebih tinggi memberi kelebihan kepada kerajaan tetapi ia perlu seimbang sama ada ia perlu membuat pelaburan jangka panjang seperti pembangunan atau penyelesaian jangka pendek merangkumi subsidi serta pemindahan tunai.

“Kami tidak pasti sama ada harga minyak semasa boleh dikekalkan. Gangguan dalam bekalan masih merupakan isu utama sektor ini.

“Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa, pengeluaran minyak yang lebih tinggi daripada negara bukan OPEC akan terus mencatatkan cabaran kepada industri pada 2020. Oleh itu, kami tidak pasti jika lonjakan harga minyak ini boleh bertahan,” katanya kepada Bernama.

Pada Isnin, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, hasil Petroliam Nasional Bhd dan subsidi bahan api kerajaan akan meningkat selepas harga minyak mentah melonjak berikutan serangan di Arab Saudi.

Menurut Lim, sekarang ini, had harga bahan api RON95 masih kekal pada RM2.08 seliter dan menambah subsidi bahan api negara akan memerlukan penilaian yang tersusun serta terperinci untuk jangka masa panjang.

Pakar Strategi Pasaran Asia Pasifik AxiTrader, Stephen Innes baru-baru ini berkata daripada segi sejarah, kenaikan harga minyak yang didorong oleh permintaan secara amnya adalah positif untuk ekuiti di Asia Pasifik.

Sebaliknya, kenaikan mendadak pada harga yang disebabkan oleh kekurangan bekalan biasanya kurang diterima, tambahnya.

Beliau memberi contoh sensitiviti pelaburan yang paling menguntungkan adalah Malaysia memandangkan negara ini merupakan pengeksport bersih minyak dan gas yang konsisten serta merekodkan lebihan dagangan sebanyak 2.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada tahun lepas.

“Harga mungkin akan kekal tinggi sepanjang pembaikan tetapi tidak mungkin ia pergi lebih jauh daripada paras tertinggi Mei disebabkan Arab Saudi akan menggunakan rizab dan seterusnya, menstabilkan harga. Malahan, terdapat banyak rizab lain di seluruh dunia.

“Tetapi Bajet Malaysia 2019 dibuat berdasarkan kepada harga minyak pada paras US$70 setong, jadi kenaikan harga ini merupakan rangsangan kepada poket kerajaan,” katanya kepada Bernama.

Innes menjelaskan apa yang dipanggil sebagai premium risiko perang dan bekalan mampu mengekalkan lonjakan harga, walaupun selepas pengeluaran dipulihkan.

Sementara itu, RHB Research berkata hasil yang berkaitan dengan minyak, yang dianggarkan menyumbang sebanyak 30.9% kepada jumlah perolehan kerajaan pada tahun ini, dijangka akan jatuh disebabkan ketiadaan dividen khas Petronas yang berjumlah RM30 bilion dan harga minyak mentah yang lebih rendah.

“Kami percaya anggaran harga minyak yang lebih konservatif bawah AS$60 setong mungkin akan diterima pakai oleh kerajaan bagi Bajet 2020 berbanding nilai AS$70 setong seperti yang diunjurkan pada 2019.

“Ini terjadi dalam keadaan geopolitik yang sedia memuncak sehingga menyebabkan gangguan bekalan global yang seterusnya, meningkatkan harga minyak mentah dalam tempoh terdekat,” katanya dalam nota penyelidikan “Tinjauan Bajet 2020: Berkongsi Kemakmuran, Perbelanjaan Fiskal Yang Lebih Tinggi Dalam Tempoh Yang Mencabar” hari ini.

Sekarang ini, RHB Research meramalkan premium pada AS$3-AS$10 setong untuk ditambah kepada harga minyak mentah dalam tempoh terdekat tetapi mengekalkan unjuran harga minyak mentah sebanyak AS$66 setong pada tahun depan.

Secara anggaran, setiap kenaikan AS$1 dalam harga minyak mentah akan menambah RM300 juta kepada poket kerajaan.