Indonesia lulus akta, bimbang gugat kebebasan badan antirasuah KPK

Parlimen Indonesia meluluskan rang undang-undang berkaitan Komisi Pembanterasan Korupsi, didakwa boleh menggugat kebebasan badan antirasuah itu. (Gambar Reuters)

JAKARTA: Parlimen Indonesia meluluskan rang undang-undang Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) walaupun aktivis dan pakar mendakwa langkah itu akan melemahkan badan antirasuah tersebut.

KPK terkenal sebagai antara badan antirasuah paling bebas di dunia dan merupakan agensi paling disegani di Indonesia.

Suruhanjaya itu sejak ditubuhkan pada 2002 telah mendakwa beratus ahli politik, pegawai kerajaan dan ahli perniagaan, lapor Reuters.

Mesyuarat pleno kesembilan dihadiri 289 daripada 560 anggota Dewan Rakyat pada Selasa telah memutuskan untuk menerima Rang Undang-undang 30 Tahun 2002 menjadi undang-undang baru yang mengandungi beberapa perubahan besar tentang badan antirasuah, terutama dari segi statusnya, peraturan dan mekanisme pendakwaan.

Pada minggu lalu suruhanjaya perundangan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia bersetuju untuk menamakan pegawai kanan polis Inspektor Jeneral Firli Bahuri berkontroversi sebagai pengerusi KPK.

Firli pernah memegang jawatan timbalan bahagian penguat kuasa KPK, disifatkan sebagai antara usaha mengekang kebebasan KPK.

Portal Antara melaporkan sebelum rang undang-undang itu diluluskan, KPK merupakan sebuah suruhanjaya bebas yang dibentuk untuk memerangi rasuah; mengawasi badan pemerintah dan melaksanakan tadbir urus baik negara, dan mengadakan siasatan dan mengenakan pendakwaan, serta melaksanakan usaha pencegahan.

Bagaimanapun, mengikut undang-undang baru, KPK kini tidak lagi menjadi entiti bebas, tetapi sebahagian daripada institusi eksekutif di bawah kerajaan.

Justeru semua kakitangan KPK kini menjadi sebahagian daripada perkhidmatan awam.
Selain perubahan statusnya, kerja dan pentadbiran KPK juga akan dipantau oleh lembaga penyeliaan. Lembaga bukan hanya ditugaskan untuk mengawasi, tetapi juga memiliki kewenangan untuk mengeluarkan izin kepada pejabat KPK setiap kali mereka mahu menyiasat pihak-pihak yang disyaki.

Sebelum undang-undang baru itu diluluskan, KPK diketuai pengerusi dan empat naib pengerusi. Kerja-kerja itu dipantau oleh pejabat dalaman yang dibenarkan mengeluarkan sekatan pentadbiran kepada pegawai KPK.

Berikutan undang-undang baru, KPK boleh mengeluarkan waran penamatan penyiasatan (SP3) jika siasatan masih tidak lengkap dalam dua tahun.

Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Yasonna Laoly semasa mesyuarat pleno berkata undang-undang baru itu bertujuan menjadikan KPK sebuah badan antirasuah yang lebih berkesan.

“Semakan Undang-Undang Nomor 30 Tahun 2002 tentang KPK dibuat untuk menghapuskan korupsi secara efektif tanpa mengabaikan prinsip-prinsip hak asasi manusia,” katanya.