Jerebu: 115 sekolah di Selangor tutup, 53 di Nilai dan Mantin

PETALING JAYA: Sebanyak 115 buah sekolah di daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Sabak Bernam ditutup hari ini ekoran keadaan jerebu yang serius di kawasan berkenaan.

Dalam kenyataan dikeluarkan malam tadi, Kementerian Pendidikan berkata penutupan itu membabitkan 26 buah sekolah di Sepang, Hulu Langat (23), Kuala Langat (21), Klang (27), dan Sabak Bernam (18).

Penutupan sekolah tersebut membabitkan 113,699 pelajar.

Berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di stesen Putrajaya setakat 4 petang semalam, di bawah 200 dengan trend bacaan semakin menurun, maka semua sekolah di daerah Sepang, Hulu Langat dan Petaling Perdana yang ditutup semalam akan kembali beroperasi seperti biasa hari ini.

“Sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan pihak sekolah telah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dalam mengutamakan kesihatan murid dan guru,” kata kenyataan itu.

Laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 9 malam tadi (17 Sept), bacaan IPU di Johan Setia adalah 230, Klang (188), Banting (180), Shah Alam (178), Petaling Jaya (176) dan Kuala Selangor (162).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Pelan Tindakan Kebangsaan menghadapi keadaan berjerebu termasuk aktiviti sekolah.

Dalam pada itu, sebanyak 53 sekolah di kawasan Nilai dan Mantin juga ditutup bagi sesi persekolahan hari ini berikutan bacaan IPU melebihi 200.

Dipetik Bernama, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan Pkharuddin Ghazali berkata setakat 9 malam tadi, bacaan IPU di Nilai merekodkan bacaan 205 iaitu sangat tidak sihat dan penutupan sesi persekolahan melibatkan seramai 28,073 pelajar.

Bagi 63 sekolah di kawasan Port Dickson yang telah ditutup semalam akan bermula seperti biasa hari ini, kata beliau.

“Sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Bernama melaporkan, semua sekolah di Putrajaya beroperasi seperti biasa hari ini susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) Putrajaya yang semakin menurun.

Pengarah Pendidikan Putrajaya Farizah Ahmad dalam kenyataan berkata pada jam 6 petang semalam, bacaan IPU adalah di bawah 200 dengan trend bacaan semakin menurun.
Beliau berkata sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.