Laksana sistem kerja fleksi, lindungi pekerja dari jerebu

Dalam hadapi masalah jerebu yang sedang dialami oleh negara kita pada masa kini, para majikan di sektor kerajaan serta di sektor swasta boleh melaksanakan sepenuhnya aturan kerja secara fleksibel bagi memudahkan para pekerja mereka untuk bekerja tanpa perlu bergerak ke tempat kerja dalam suasana jerebu yang sedang hebat melanda negara kita pada masa kini.

Seperti yang diketahui umum, seluruh negara kita serta beberapa buah negara di rantau Asia Tenggara pada masa kini sedang menghadapi masalah jerebu.

Asap jerebu dipercayai berpunca daripada pembakaran hutan secara berleluasa yang sedang berlaku di Indonesia ini memberi banyak kesan negatif kepada semua pihak yang terdedah dengan asap jerebu terbabit terutamanya dari aspek kesihatan dan keselamatan.

Asap jerebu ini boleh membawa kesan bahaya kepada mereka yang memiliki daya ketahanan tubuh yang rendah, mereka yang mempunyai penyakit berkaitan dengan penafasan, mengganggu tahap penglihatan dan lain-lain lagi. Asap jerebu yang tebal ini juga boleh mengundang bahaya keselamatan kepada aspek penglihatan pemanduan di jalan-jalan raya, sekali gus boleh meningkatkan risiko kemalangan di jalan-jalan raya dalam negara kita.

Oleh yang demikian, adalah penting majikan sama ada di sektor awam ataupun swasta melaksanakan sepenuhnya sistem bekerja fleksibel ini kepada para pekerja mereka sekurang-kurangnya sepanjang tempoh musim jerebu ini kepada pekerja mereka bagi menjaga dan melindungi aspek kesihatan dan keselamatan pekerja mereka.

Dengan membenarkan pekerja untuk melakukan pekerjaan mereka secara fleksibel, mereka tidak perlu keluar dari rumah mereka serta mengharungi asap jerebu yang ada di luar rumah. Dengan kemunculan pelbagai jenis teknologi moden pada masa kini, banyak aktiviti kerja dapat dilakukan tanpa perlu hadir ke pejabat.

Perlu diketahui, waktu bekerja fleksibel tidak hanya meliputi kemudahan fleksibel dari sudut tempoh waktu bekerja sahaja, malah ia juga boleh meliputi kemudahan fleksibel untuk bekerja di beberapa lokasi yang berbeza tanpa perlu berada satu lokasi yang sama sahaja.

Dengan kemunculan pelbagai teknologi moden, sistem pekerjaan yang telah lama dipakai selama ini dilihat sudah ketinggalan zaman serta tidak dapat menampung keadaan semasa yang terpaksa dilalui oleh setiap pekerja bagi mencari keseimbangan yang ideal antara kerja dan keluarga. Sistem pekerjaan yang biasa diamalkan iaitu dengan bekerja di satu tempat yang khusus dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang dari hari Isnin hingga Jumaat tidak lagi dapat diguna pakai masa kini. Malah ia juga dilihat boleh menjadi satu faktor yang boleh menjejaskan kualiti kehidupan seseorang pekerja dan menyukarkan segala proses pemantauan untuk dilakukan terhadap anak-anak mereka di rumah, sekolah ataupun di pusat penjagaan.

Pada bulan Mac 2015, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan sistem aturan kerja fleksibel. Sistem aturan kerja fleksibel yang diperkenalkan terbabit terbahagi kepada tiga kaedah iaitu Bekerja Dari Rumah (BDR), masa kerja anjal dan waktu bekerja mingguan yang diubah suai.

Konsep sistem kerja anjal atau secara fleksibel ini sudah lama diamalkan di negara-negara maju. Bekerja dari rumah atau lebih juga dikenali sebagai Small Office Home Office (SOHO) bukan satu perkara asing didalam dunia moden kini. Ia semakin diterima masyarakat, lebih-lebih lagi dengan kemajuan dan kecekapan teknologi komunikasi dan maklumat.

Banyak manfaat yang dapat diperolehi dengan melaksanakan sistem aturan kerja yang baru ini seperti peningkatan produktiviti pekerja, peningkatan tahap kesihatan pekerja serta yang paling penting tumpuan penuh yang dapat diberikan oleh pekerja berkenaan terhadap keluarga masing-masing di rumah khusus proses pemantauan anak.

Oleh yang demikian, adalah disarankan majikan sama ada di sektor awam mahupun swasta memberi pertimbangan dengan serius bagi melaksanakan sistem aturan kerja yang baru di tempat kerja mereka bagi melahirkan pekerja yang lebih gembira, sihat dan berproduktiviti serta membantu para pekerja mereka dalam menghadapi keadaan kecemasan luar jangkaan seperti suasana jerebu yang berlaku pada ketika ini.

Muzaffar Syah Mallow pensyarah kanan Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.