Tidak boleh hapus rasisme sepenuhnya, kata Salleh Keruak

Salleh Said Keruak berkata, konsep ‘perpaduan dalam kepelbagaian’ di Malaysia sekadar cakap kosong.

PETALING JAYA: Bekas menteri persekutuan, Salleh Said Keruak berkata tahap tertentu rasisme akan sentiasa wujud di setiap negara, susulan kenyataan bekas menteri pertahanan, Hishammuddin Hussein mengenai perpaduan dalam kepelbagaian “sangat sukar diperolehi”.

“Anda tidak boleh menghapuskan rasisme sepenuhnya. Anda hanya boleh mengurangkan dan mengawalnya,” tulisnya dalam satu catatan blog.

“Ini perlu menjadi fokus pemimpin politik dan sosial.”

Beliau berkata, masalahnya ialah konsep “perpaduan dalam kepelbagaian” di Malaysia sekadar cakap kosong.

“Perlu ada keikhlasan dan bukan dijadikan slogan semata-mata, jika anda mahu melihat visi dan misi anda membuahkan hasil.”

Semalam, menerusi ucapan dalam sebuah ceramah mengenai kepelbagaian budaya dan pembentukan negara yang dibacakan anak saudaranya, Mohd Rhiza Ghazi, Hishammuddin menggesa rakyat Malaysia untuk membantah politik kebencian.

Ahli Parlimen Semborong itu turut menggesa pemimpin memahami keperluan untuk bersabar dan bijak dalam dalam menangani isu.

Salleh yang juga bekas ketua menteri Sabah, berkata mudah untuk menyalahkan orang lain atas tindakan rasisme atau sikap tidak bertoleransi terhadap agama.

“Tetapi, kita perlu tanya sama ada kita turut melakukan kesalahan sama. Ia memerlukan dua tangan untuk bertepuk.

“Hakikat yang kita masih bercakap mengenai orang Melayu, Bumiputera, Cina dan India di Malaysia, serta pribumi Sabah dan Sarawak bermakna kita masih melihat satu sama lain melalui sudut perkauman.”