‘Terima kasih semua…’, posting terakhir FB Farid hargai pahlawan

Md Farid (dua dari kiri) menghadiri Majlis Bacaan Yassin dan Khutbah Jumaat Khas Sempena Hari Pahlawan 2019 di Istana Negara semalam. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Md Farid Md Rafik dalam posting terakhir Facebook antara lain mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada anggota keselamatan dan pahlawan dalam menjaga keamanan negara.

Posting itu dimuat naik kira-kira 15 jam lalu iaitu selepas menghadiri Majlis Bacaan Yassin dan Khutbah Jumaat Khas Sempena Hari Pahlawan 2019 di Surau Utama Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berangkat hadir pada majlis itu. Turut hadir Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Terima kasih kepada semua anggota keselamatan dan pahlawan-pahlawan kita. Pengorbanan anda tiada galang gantinya,” kata beliau yang bertanggungjawab ke atas portfolio perpaduan dan kesejahteraan sosial.

Dalam posting itu, Allahyarham yang juga ahli Parlimen Tanjung Piai menulis, “Alhamdulillah saya telah sempat menghadiri Majlis Bacaan Yassin dan Khutbah Jumaat Khas Sempena Hari Pahlawan 2019.”

“Tentunya tidak ternilai jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh pahlawan-pahlawan kita demi memastikan negara terus kekal aman dan sejahtera

“Jasa dan pengorbanan anggota keselamatan kita harus terus dipahat kukuh dalam lipatan sejarah negara. Kisah keberanian mereka dalam mempertahankan tanah air perlu disampaikan kepada generasi muda hari ini,” kata beliau lagi.

Bersama Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah semasa menghadiri Majlis Bacaan Yassin dan Khutbah Jumaat Khas Sempena Hari Pahlawan 2019. (Gambar Facebook)

Katanya, mereka harus dijadikan sumber inspirasi untuk membina jati diri dan semangat patriotik yang tinggi.

Tambah beliau, tugas mempertahankan negara merupakan tugas yang amat mulia dan pada hari ini “kita dapat hidup dengan tenang, aman dan selamat hasil daripada peranan yang dimainkan oleh pasukan keselamatan kita.”

Justeru katanya, sebarang tuduhan dan perspepsi negatif yang dilemparkan kepada pasukan keselamatan perlulah ditolak sepenuhnya.

“Kita harus terus berdiri teguh di belakang pasukan keselamatan kita.

“Sekali lagi saya mendoakan semoga semua pahlawan-pahlawan kita yang masih hidup dan telah terkorban akan terus diberikan limpahan rahmat dan keberkatan yang berpanjangan,” kata beliau.