Polis harap bawa Jho Low pulang akhir tahun ini

Polis harap bawa Jho Low pulang akhir tahun ini

Polis berkata, mereka tahu lokasi persembunyian ahli perniagaan buruan pihak berkuasa itu.

Polis sedang memburu Low Taek Jho yang didakwa terbabit dalam penyelewengan ratusan juta dolar dana 1MDB. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Polis tahu Low Taek Jho berada di mana dan berharap dapat membawa ahli perniagaan yang sedang melarikan diri itu pulang ke Malaysia menjelang akhir tahun ini untuk membantu siasatan ke atas skandal 1MDB.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berjanji akan cuba yang terbaik untuk mempercepatkan proses itu dan meningkatkan tekanan dalam rundingan dengan negara terbabit yang dipercayai menjadi lokasi persembunyian Jho Low serta mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.

“Saya tidak ada tempoh masa. Nanti saya seolah-oleh berjanji, dia sudah menghilangkan diri bertahun lama…tapi sebelum hujung tahun ini akan dapatkan keputusan. Saya yakin boleh bawa dia balik.

“Sudah saya tingkatkan tempo tekanan supaya mereka akhirnya akur. Saya tak boleh sebut negara itu kerana masih dalam rundingan,” katanya dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian hari ini.

Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low dinamakan watak utama oleh penyiasat dalam skandal 1MDB, manakala pendakwa raya Amerika Syarikat dan Malaysia mendakwa dia digunakan untuk menyeleweng ratusan juta dolar dana syarikat milik Kementerian Kewangan itu.

Hamid berkata, hasil siasatan polis mendapati Jho Low dan konconya seolah-olah dilindungi pihak tertentu.

“Saya yakin daripada siasatan saya selama ini, dia seolah-olah mendapat perlindungan satu pihak untuk bersembunyi di sebuah negara, di situ dia bebas bergerak, seolah-olah dia jalankan perniagaan tanpa sekatan.”

Hari ini, Hamid mengulangi usaha membawa balik Jho Low pulang ke Malaysia ialah keutamaannya.

“Saya cuba usaha (bawa balik Jho Low), kalau boleh kita nak bawa balik minggu ini.”

Katanya, polis tidak akan berputus asa dalam usaha membawa pulang Jho Low dan jika ia masih menemui jalan buntu selepas ini, beliau akan mendedahkan punca kegagalan mereka berbuat demikian.

“Bila kaedahnya habis, saya akan buat sidang media senaraikan apa yang saya buat, apa yang menggagalkan saya, siapa yang tidak beri kerjasama, siapa tidak bertanggungjawab, siapa yang tidak menjalankan tugas sebagai penguat kuasa yang sepatutnya menguatkuasakan undang-undang membantu kita, saya akan dedahkan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.