Saksi dedah Jho Low cadang amaun elaun, Najib setuju

Saksi dedah Jho Low cadang amaun elaun, Najib setuju

Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata amaun pembayaran yang diminta ini sebenarnya dicadangkan oleh Jho Low yang menyatakan bahawa Najib telah bersetuju untuk pembayaran itu.

Jho Low. (Gambar Bloomberg)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Ahli Lembaga Pengarah 1MDB menerima elaun dan bayaran antara RM230,000.00 dan RM179,000.00 secara tahunan dan amaun itu adalah cadangan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, yang dikenali sebagai Jho Low yang dipersetujui oleh Najib Razak.

Perkara itu didedahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, pada hari ke-13 perbicaraan kes Najib melibatkan dana 1MDB semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Gopal Sri Ram.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, pengerusi 1MDB Che Lodin Wok Kamaruddin menerima elaun RM230,000 manakala pengarah bukan eksekutif 1MDB Ismee Ismail pula dibayar RM179,000.00.

“Ong Gim Huat, Ashvin Jethanand dan saya masing-masing dibayar RM179,0000,” katanya sambil mengesahkan bahawa amaun itu dibayar dan diterima oleh kesemua BOD (ahli lembaga pengarah) secara tahunan sejak dari tarikh ia dikuatkuasakan pada 1 April 2011 dan tiada pindaan amaun baru dibuat selepas itu.

Terdahulu, semasa membacakan pernyataan saksi setebal 270 muka surat, saksi penting itu mengesahkan surat 1MDB bertarikh 2 Feb 2012 yang ditandatangani oleh beliau sendiri kepada Najib berkenaan “1MDB – Directors’ Fees”.

“Saya mengesahkan, kandungan surat ini menyatakan cadangan untuk elaun dan bayaran kepada BOD 1MDB kepada pemegang saham 1MDB iaitu Najib.

“Amaun pembayaran yang diminta ini sebenarnya dicadangkan oleh Jho Low yang menyatakan kepada saya bahawa Najib telah bersetuju untuk pembayaran itu.

“Setelah perkara itu disampaikan oleh Jho Low kepada saya, maka saya sediakan surat ini untuk persetujuan bertulis daripada Najib.

Setelah surat ini dihantar, terdapat tandatangan dan catatan tulisan tangan oleh Najib sendiri yang menyatakan ‘Tan Sri Lodin, bersetuju dengan cadangan ini’ bertarikh sama dengan surat iaitu 2 Feb 2012,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.