Tokoh ternama antara 1,400 ditahan berikutan protes anti Sisi di Mesir

Tokoh ternama antara 1,400 ditahan berikutan protes anti Sisi di Mesir

Sehingga Jumaat lepas, lebih 1,400 ditahan menurut kumpulan hak asasi tempatan.

Penganalisis politik Hazem Hosny (kiri), Hassan Nafaa (tengah) dan Khaled Dawoud (kanan) merupakan mangsa terbaru operasi penahanan ke atas pengkritik al-Sisi.
KAHERAH:
Pasukan keselamatan Mesir menahan jurucakap bekas ketua tentera Sami Anan selepas beliau menghantar komen kritikal di Facebook terhadap Presiden Mesir Abdel Fateh al-Sisi.

Hazem Hosny yang juga merupakan penganalisis politik ternama ditahan petang Selasa kata peguamnya Nour Farahat, lapor Middle East Eye (MEE).

Menurut Farahat, anak guamnya kini ditahan tanpa makluman dan penahanan itu dibuat tanpa waran.

Anan ditahan Januari tahun lalu selepas beliau mengumumkan akan bertanding menentang Sisi dalam pilihan raya presiden. Beliau kini ditahan di hosital tentera.

Hosny merupakan profesor emeritus di Fakulti Ekonomi dan Sains Politik di Universiti Kaherah.

Dalam analisis terbarunya mengenai protes yang sedang berlaku beliau berkata, sokongan antarbangsa yang diterima oleh Sisi adalah mencukupi untuk memastikan beliau kekal berkuasa, tetapi protes terhadapnya boleh mengubah faktor itu.

MEE juga melaporkan pasukan keselamatan turut menahan seorang lagi penganalisis politik dan bekas penyokong Sisi yang baru-baru ini menyokong protes popular terhadap pemerintahannya.

“Saya tidak ragu-ragu lagi bahawa penerusan pemerintahan kuasa mutlak Sisi akan membawa bencana, dan kepentingan Mesir menuntut beliau berundur hari ini, bukan esok,” kata Hassan Nafaa di Twitter.

“Tetapi beliau hanya akan berundur dengan tekanan awam dari jalan raya. Pada masa sama kita harus mencari jalan paling murah bagi memastikan kuasa beralih ke tangan pemimpin yang jujur, selain mengelakkan kekacauan,” katanya lagi.

Seorang lagi tokoh terkenal yang ditahan ialah jurucakap media kepada Parti al-Dostour dan bekas wartawan al-Jazeera, Khaled Dawoud, lapor MEE.

Beliau merupakan bekas jurucakap Barisan Keselamatan Nasional, sebuah gabungan orang awam yang menyokong rampasan kuasa Sisi ke atas presiden sebelum ini, Mohamed Morsi.

Terbaru, Dawoud menggesa siasatan dijalankan ke atas dakwaan rasuah melibatkan Sisi.

Penahanan Hosny, Nafaa dan Dawoud berlaku serentak dengan penahahan besar-besaran ke atas penunjuk perasan menentang Sisi yang mengadakan protes jalan raya.

Sehingga Jumaat, lebih 1,400 ditahan menurut kumpulan hak asasi tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.