
Panel tiga hakim yang terdiri daripada Mary Lim Thiam Suan, Zabariah Mohd Yusof dan Vazeer Alam Mydin Meera membuat keputusan itu, selepas mendengar hujah Joan Goh serta Phang Fui Fong yang mewakili Wong, Adun Likas ketika itu.
Wong yang juga menteri pertanian dan industri makanan Sabah berkata, beliau gembira dengan keputusan itu kerana sudah mendapat keadilan.
“Saya akan dapat semula gaji enam bulan saya, tetapi ia bukan mengenai gaji saya — ia mengenai keadilan. Mahkamah bersetuju dengan tafsiran undang-undang kami.
“Ini adalah kes mahkamah pertama di Sabah mengenai penggantungan seorang wakil rakyat dan menjadi kes penting untuk rujukan masa depan.
“Ini kemenangan untuk demokrasi Sabah dan Perlembagaannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 16 Julai 2014, Speaker DUN Sabah ketika itu, Salleh Said Keruak menggantung Wong yang kini naib presiden Warisan dan Adun Tanjung Aru, selepas dia didakwa mensensasi dan mengelirukan DUN serta rakyat mengenai satu jenayah yang kemudiannya dibuktikan palsu.
Dakwaan itu membabitkan rompakan bersenjata ke atas seorang remaja perempuan di sebuah pusat beli-belah di sini yang kemudiannya didapati tidak benar.
Pada Januari 2014, Wong mempersoalkan kerajaan negeri mengenai keselamatan bandar itu, selepas memuat naik dakwaan rompakan membabitkan remaja itu yang dikatakan dikelar di luar tandas pusat beli-belah itu ke Facebooknya.
Selepas siasatan lanjut, remaja itu mengakui jenayah itu tidak pernah berlaku dan kecederaannya akibat perbuatan sendiri.
Ketika sidang DUN Sabah pada April 2014, Wong dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan berhubung dakwaannya itu di DUN.
Salleh kemudian melaksanakan hukuman itu susulan cadangan jawatankuasa itu empat bulan kemudian.
Wong kemudian memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan penggantungan itu menyalahi undang-undang, tetapi ditolak Mahkamah Tinggi pada 27 Ogos 2015.
Dalam rayuannya, peguam Wong mengemukakan tiga perkara, satu daripadanya ialah Seksyen 24 Enakmen Dewan Undangan Negeri (Keistimewaan Kekebalan dan Kuasa) 1963, yang dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 96 DUN Sabah, tidak menyatakan seorang wakil rakyat boleh digantung selama enam bulan.
Peguamnya berhujah peruntukan itu hanya menyatakan wakil rakyat boleh digantung daripada sidang DUN, tetapi jika tiada sidang DUN, maka tiada isu penggantungan.
Oleh itu, jika ada penggantungan, ia sepatutnya berakhir pada penggal kedua sidang DUN ke-14 pada 16 Julai 2014, bukannya enam bulan seperti yang berlaku.
Selain Salleh, Wong menamakan empat responden lain dalam rayuannya, iaitu bekas timbalan ketua menteri, Joseph Pairin Kitingan, bekas menteri tugas-tugas khas Sabah, Teo Chee Kang, setiausaha kerajaan negeri dan kerajaan Sabah.
Goh dan Phang berkata, enakmen 1963 dan Peraturan Mesyuarat tidak membenarkan seorang wakil rakyat digantung disebabkan catatan di Facebook dan/atau kegagalan untuk menyuarakan sesuatu di DUN dan/atau untuk membandingkan apa yang dikatakan di DUN serta laporan akhbar.
Jabatan Peguam Negara Sabah bagaimanapun berkata, permohonan Wong tidak boleh diadili, oleh itu ia tidak tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah berdasarkan Perkara 72 (1) Perlembagaan Persekutuan.