3 peserta maraton KL cedera dilanggar lari

3 peserta maraton KL cedera dilanggar lari

Jurucakap polis trafik di Ampang Jaya berkata, seorang peserta cedera kritikal dan dua lagi cedera ringan.

Standard Chartered KL Marathon ialah larian tahunan yang diadakan sejak 1989. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tiga peserta Standard Chartered KL Marathon cedera selepas dilanggar sebuah kereta yang dikatakan merempuh penghadang keselamatan didirikan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) awal pagi semalam.

“Seorang mangsa mengalami kecederaan kritikal dan dua lagi cedera ringan,” kata jurucakap polis trafik di Ampang Jaya kepada FMT semalam.

Menurut catatan pengguna Facebook Onizuka Rizuan, seorang daripada mangsa itu ialah rakan sekerjanya di PruBSN yang mengalami keretakan di pinggul dan pelvis, serta cedera di kepala dan tangan.

Onizuka merayu saksi kemalangan yang dikatakan langgar lari itu supaya tampil membantu siasatan polis.

Mangsa yang berusia 44 tahun itu dipercayai dalam keadaan stabil dan dijangka menjalani pembedahan. Dia dipercayai ialah pembantu kawasan Parlimen bagi bekas menteri belia dan sukan, Khairy Jamaluddin yang merupakan ahli Parlimen Rembau.

Sekeping gambar yang dimuat naik ke Facebook Onizuka menunjukkan Khairy berada di tepi katil mangsa itu.

Gambar dimuat naik ke Facebook ini menunjukkan Khairy Jamaluddin bersama seorang mangsa berusia 44 yang merupakan pembantu kawasan Parlimen Rembau. FMT cuba mendapatkan pengesahan daripada Khairy. (Gambar Facebook)

FMT cuba mendapatkan pengesahan daripada Khairy. Butiran mangsa lain belum diperolehi.

Jurucakap polis berkata, saksi melaporkan kemalangan yang berlaku di MRR2 itu menghala ke arah Gombak.

Tetapi, katanya, tidak jelas jika pemandu merempuh penghadang kerana kawasan itu dalam pembinaan dan peserta mungkin keliru.

Penganjur maraton itu berkata, ia memberi bantuan kepada peserta terjejas akibat kemalangan itu dan mereka sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa, serta berjanji memberi lebih banyak maklumat apabila memperolehinya.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa pihak berkuasa “mengambil tindakan segera untuk mencari individu yang melanggar penghadang keselamatan itu” serta membantu mangsa cedera.

Standard Chartered KL Marathon ialah larian tahunan yang diadakan sejak 1989. Lebih 30,000 peserta mengambil bahagian tahun ini bersama kira-kira 1,900 peserta antarabangsa dari 73 negara.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.