Warga emas maut dilanggar pemandu warga asing mabuk

Warga emas maut dilanggar pemandu warga asing mabuk

Polis berkata mangsa berusia 67 tahun dilanggar ketika lintas dari kiri ke kanan jalan sebelum tercampak di atas jalan raya.

Abdul Rozak Muhammad
Ketua Polis Timur Laut, Abdul Rozak Muhammad berkata pemandu terbabit ditahan dan akan direman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Wanita warga emas maut selepas dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu seorang lelaki warga asing yang disyaki berada di bawah pengaruh alkohol ketika sedang melintas jalan di Jalan Lembah Permai, Tanjung Tokong, lewat malam tadi.

Ketua Polis Timur Laut, Abdul Rozak Muhammad berkata dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, mangsa berusia 67 tahun yang tercampak ke atas jalan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, kemalangan dipercayai berlaku ketika SUV dipandu lelaki berusia 51 tahun sedang bergerak dari arah Jalan Mount Erskine menghala ke Jalan Tanjung Bungah.

“Semasa tiba di tempat kejadian SU terlanggar pejalan kaki yang melintas dari kiri ke kanan jalan. Akibat kemalangan, pejalan kaki tersebut telah tercampak ke atas jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Rozak berkata pemandu SUV itu disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan, berdasarkan hasil ujian saringan yang dijalankan.

Beliau berkata polis telah menahan lelaki terbabit dan perintah reman akan dimohon bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.