Dr Mahathir sangkal Kongres Maruah Melayu rasis

Dr Mahathir bergambar dengan pemimpin Melayu lain pada Kongres Maruah Melayu di Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM: Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa Kongres Maruah Melayu yang berlangsung hari ini bersifat rasis.

“Kita tak kecam orang Cina dan India, tetapi nak kecam orang Melayu kenapa jadi begini,” katanya pada sidang media di akhir Kongres Maruah Melayu di sini.

Beliau berkata, kongres itu juga tidak ada kaitan dengan politik kerana ia dihadiri semua pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), universiti dan parti politik.

“Mereka hadir sebagai Melayu dan nak tahu apa jadi maruah Melayu dan nak pulih maruah.”

Kongres ini diadakan tiga minggu selepas Umno dan PAS mengadakan Himpunan Penyatuan Ummah di ibu negara.

Beberapa pihak mendakwa kongres ini diadakan sebagai persaingan kepada himpunan tersebut, malah ada yang mengesyorkan supaya Mahathir tidak hadir menyampaikan ucapan.

Kongres hari ini turut dihadiri pemimpin Umno dan PAS serta komponen Pakatan Harapan (PH) serta badan-badan bukan kerajaan. Turut hadir Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

Sementara itu, Mahathir berkata ahli politik yang hadir hari ini mengetepikan fahaman mereka dan berasa bertanggungjawab ke atas pemulihan maruah orang Melayu.

Mahathir juga berkata pemimpin politik yang hadir daripada pelbagai parti dan tidak menyentuh langsung berkenaan ideologi parti masing-masing.

“Kita bercakap tentang orang Melayu, apakah kedudukan mereka dari segi sosial, ekonomi, politik dan sebagainya.

“Di mana mereka buat kesilapan yang menyebabkan mereka ketinggakan berbanding orang lain di negara sendiri,” katanya.

Mahathir juga berkata resolusi yang dicapai hari ini juga menggambarkan perasaan dan kepentingan orang Melayu.

“Hari ini orang Melayu bimbang masa depan mereka. Mereka bimbang tidak dipandang tinggi seperti orang lain.

“Kami akan cari cara. Melayu sendiri kena main peranan pelihara maruah Melayu,” katanya.

Mahathir berkata, orang Melayu akan menjadi lemah sekiranya bergaduh sesama sendiri.

“Kita berkelahi sama kita. Enam parti politik masing-masing nak jadi perdana menteri.

“Kita ada satu jawatan perdana menteri. Kalau ada enam bolehlah seorang ambil satu,” katanya.