Kekalkan akta berita palsu jika tak mahu tumbang seperti BN, kata Shahidan

Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim menasihatkan kerajaan mengekalkan Akta Antiberita Tidak Benar, jika tidak mahu tumbang seperti Barisan Nasional (BN).

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mendakwa BN menjadi mangsa fitnah sehingga mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.

“Kalau tidak mahu tumbang seperti kerajaan sebelum ini, guna dan kekalkan Akta Antiberita Tidak Benar.

“Akta Antiberita Tidak Benar tidak wajar dimansuhkan, tetapi buat penambahbaikan dan pindaan kalau tidak puas hati.

“Kalau tidak suka nama Akta Antiberita Tidak Benar, boleh tukar nama lain. Kalau kerajaan cerdik, tarik balik cadangan RUU itu,” katanya di Dewan Rakyat pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019.

Dewan Rakyat sedang membahaskan RUU itu buat kali kedua, selepas cubaan pertama ditolak Dewan Negara pada Sept tahun lalu.

Akta Antiberita Tidak Benar dikuatkuasakan pada 11 April 2018 di bawah kerajaan BN untuk menangani penyebaran berita palsu. Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam tahun dan denda RM500,000 jika sabit kesalahan.

Tetapi, selepas kerajaan Pakatan Harapan memenangi PRU14, ia membentangkan usul RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 yang diluluskan Dewan Rakyat pada Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, ia ditolak Dewan Negara pada bulan berikutnya, selepas undi belah bahagian menyaksikan 28 senator menentang RUU itu, 21 menyokong dan tiga lagi tidak mengundi.