Saranan Shahidan bayangan PN terdesak cari ‘tongkat baharu’, kata penganalisis

Saranan Shahidan bayangan PN terdesak cari ‘tongkat baharu’, kata penganalisis

Penganalisis melihat gesaan Shahidan Kassim agar parti dikaitkan Hamzah Zainudin sertai PN mencerminkan hakikat kekuatan Ahli Parlimen Larut yang mendakwa bawa sokongan besar.

Shahidan Kassim
Shahidan Kassim saran parti baharu dikaitkan Hamzah Zainudin menyertai Perikatan Nasional. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Saranan pemimpin PAS Shahidan Kassim supaya parti baharu dikaitkan Hamzah Zainudin menyertai Perikatan Nasional (PN) mungkin dilihat petanda gabungan itu mula mencari ‘tongkat baharu’ ketika kedudukan Bersatu dikatakan semakin goyah, kata penganalisis.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, kenyataan ahli jawatankuasa PAS pusat itu bukan sekadar pelawaan politik biasa, sebaliknya mencerminkan hakikat kekuatan Ahli Parlimen Larut tersebut yang mendakwa membawa sokongan besar kelompok asal Bersatu.

“Jika Hamzah tak masuk ia akan merugikan PN dari segi kekuatan politik pembangkang, selain itu wujud juga risiko berlaku pecah undi jika mereka memilih menjadi kuasa ketiga.

“Jadi, saya lihat saranan itu lebih kepada melihat kekuatan ada pada Hamzah,” katanya kepada FMT mengulas kenyataan Shahidan yang parti baharu Hamzah perlu menyertai gabungan besar seperti PN untuk mengukuhkan kedudukannya.

Susulan pemecatannya daripada Bersatu pada 13 Feb lalu, timbul spekulasi Hamzah akan mengambil-alih Parti Keluarga Malaysia untuk meneruskan perjuangan politiknya.

Namun, Sabtu lalu bekas timbalan presiden Bersatu itu membayangkan partinya masih dalam gabungan PN dan menjelaskan tidak salah untuk dirinya menyertai PAS.

Menurutnya, istilah ‘rumah baharu’ tidak semestinya merujuk kepada parti yang baharu ditubuhkan secara rasmi.

Namun, Mazlan berkata langkah itu boleh mengundang implikasi lebih besar terutama terhadap hubungan dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang dianggap Hamzah sebagai musuh nombor satu.

“Isu pengagihan kerusi dijangka menjadi titik paling sensitif kerana kerusi yang sebelum ini dianggap milik Bersatu hampir pasti akan menjadi rebutan.

“Ini sekali gus membuka ruang kepada pertembungan terus antara dua kem yang kini semakin renggang,” katanya.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting turut membangkitkan amaran berkait risiko besar pertembungan dalam perebutan kerusi.

Katanya, pertindihan kawasan antara Bersatu dan parti Hamzah boleh mencetuskan pertembungan dalaman yang melemahkan PN.

“Jika tidak diurus PN berdepan dilema pertandingan sesama sendiri dan pastinya satu senario menguntungkan lawan.

“Saranan Shahidan itu menyalakan api persoalan, mampukah PN bertahan sebagai gabungan kukuh atau sekadar pentas sementara sebelum retak itu benar-benar terbelah?” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.