Dr M: Polis ikut undang-undang dalam tangkapan LTTE, tiada campur tangan

Dr M: Polis ikut undang-undang dalam tangkapan LTTE, tiada campur tangan

Khamis lepas, tujuh individu termasuk dua Adun DAP ditahan mengikut Sosma selepas disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE.

Dr Mahathir berkata, tindakan polis dilakukan tanpa campur tangan pentadbirannya, sekali gus menyangkal ia dibuat bagi melemahkan mana-mana pihak.
LANGKAWI:
Tindakan polis menahan 12 individu termasuk dua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi membantu siasatan berkaitan kes kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dilakukan mengikut peruntukan undang-undang, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata, tindakan polis itu juga dilakukan tanpa campur tangan pentadbirannya dan beliau menyangkal kononnya tangkapan itu bagi melemahkan mana-mana pihak.

“Pihak kerajaan ingin tahu apa sebab perkara ini berlaku. Kita tidak suka guna kuasa untuk lemahkan mana-mana pihak.

“Ini bukan saya tangkap orang, bukan Muhyiddin (Menteri Dalam Negeri) tangkap orang, (tapi) polis yang tangkap dan benda yang dibuat pegawai mereka itu ikut undang-undang,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri taklimat mengenai pembangunan Langkawi, di sini hari ini.

Ditanya sama ada tangkapan itu akan menjejaskan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) yang akan berdepan pilihan raya kecil Tanjung Piai bulan depan, Mahathir berkata: “Kalau ada implikasi politik, itu kita terpaksa carilah, apa latar belakang dia (mereka yang ditahan).”

Polis hari ini menahan lima lagi individu, termasuk seorang guru kerana disyaki terlibat dalam mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana membabitkan LTTE.

Penahanan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan berkaitan LTTE sejak Khamis lepas ialah 12 orang.

Khamis lepas, tujuh individu termasuk dua Adun ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) selepas disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.