Saifuddin: Sesi minum kopi Anwar, Azmin tak sentuh isu politik

Saifuddin: Sesi minum kopi Anwar, Azmin tak sentuh isu politik

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata mereka hanya berbincang mengenai perkara serius dan memfokus kepada urusan kerajaan, belanjawan dan sektor penerimanya.

Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan Mohamed Azmin Ali dan Saifuddin Nasution Ismail di ruang istirahat Parlimen semalam. (Gambar Facebook).
PETALING JAYA:
Pertemuan ringkas antara Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan timbalannya Mohamed Azmin Ali yang berlangsung di ruang istirahat Parlimen semalam, selepas dikatakan tidak bersemuka sejak tahun lalu, langsung tidak menyentuh soal politik.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang turut menyertai pertemuan itu.

Pertemuan “minum kopi” itu berlangsung selama kira-kira setengah jam.

“Kami berbincang mengenai perkara serius dan fokus kepada urusan kerajaan, belanjawan dan sektor penerimanya… tapi ia berlangsung dalam keadaan yang ‘jovial’ dan tidak sampai kepada isu parti yang berat,” kata beliau selepas Majlis Wacana Bersama Menteri dan Pelancaran Program Food Bank Siswa Universiti Malaysia Pahang di kampus Gambang dekat Kuantan hari ini, lapor Bernama.

Saifuddin berkata, Anwar menyentuh tentang kira-kira kadar kemiskinan yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-angsa Bersatu (PBB) dan Azmin menyebut tentang mekanisme yang diguna pakai oleh kerajaan.

Semalam, Azmin berkata Anwar tidak perlu memujuk ke mesyuarat majlis pimpinan pusat dan biro politik parti, dan menegaskan pasti akan bersama apabila tiada urusan kerajaan.

“Mengapa perlu dipujuk, itu tanggungjawab saya. Ada pertemuan parti yang saya pergi. Ada perbincangan parti yang dapat hadir. Tidak ada masalah.

“Kalau saya tidak ada tugas kerajaan, pastinya saya akan bersama dalam program parti. Kalau saya pergi lawatan ke negeri-negeri pun, selain program kerajaan saya akan bertemu dengan pimpinan parti negeri,” katanya.

Anwar ketika ditemui pemberita berkata pertemuan dengan timbalannya itu hanya membincangkan hal ekonomi.

Pertemuan itu di sebalik desas-desus perpecahan antara Anwar dan Azmin selepas kemunculan video seks sejenis mirip seorang menteri pada Jun.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pertemuan itu berlaku secara spontan selepas beliau selesai menjawab soalan pada sidang Parlimen dan Anwar memberikan isyarat kepadanya untuk minum kopi dengan secara kebetulan Azmin berada di ruang istirahat itu.

“Kami berbincang sambil berdiri seperti biasa sehingga Anwar menegur tak akan hendak berdiri sahaja? Semuanya seperti biasa dan hanya orang menggambarkan mereka berperang sedangkan hakikatnya tidak begitu dan tidak timbul pun perkara yang digembar-gemburkan itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.