PM gesa pekebun kecil bergabung, urus tanah seperti ladang besar

PM gesa pekebun kecil bergabung, urus tanah seperti ladang besar

Dr Mahathir Mohamad berkata, ladang besar yang dikendalikan pengurus profesional menggunakan kaedah saintifik mampu meraih pulangan dan keuntungan tinggi walaupun harga komoditi merosot.

Dr Mahathir Mohamad menghadiri perasmian mesyuarat agung dwitahunan ke-22 Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Dr Mahathir Mohamad menggesa pekebun kecil menggabungkan ladang untuk meraih pulangan lebih baik atau mereka akan mengalami kerugian apabila harga komoditi jatuh.

Perdana menteri berkata, keadaan berbeza di ladang besar yang dikendalikan pengurus profesional menggunakan kaedah saintifik bagi memastikan pulangan dan keuntungan tinggi, walaupun harga komoditi merosot.

Katanya, menggabungan ladang akan membolehkan tanah diperuntukkan untuk tanaman lain ketika penanaman semula pokok getah atau kelapa sawit.

“Hari ini, kita mengimport kira-kira RM60 bilion sayur-sayuran dan buah-buahan,” katanya sambil menambah kebanyakan tanaman itu boleh ditanam di Malaysia.

“Pendirian kerajaan ialah kita tidak boleh bergantung kepada kelapa sawit dan getah semata-mata kerana kita akan susah apabila harganya jatuh,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat agung dwitahunan ke-22 Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) hari ini.

Beliau berkata, dengan mencantum dan mengasingkan tanah untuk tanaman lain, ia dapat mengatasi masalah meminjam wang daripada kerajaan untuk tujuan penanaman semula.

Oleh itu, katanya, mereka boleh berdikari dan tidak perlu bergantung kepada kerajaan lagi.

“Ini harapan kerajaan. Kami juga berharap petani boleh meraih pendapatan sama dengan mereka yang bekerja di bandar supaya tiada jurang pendapatan jauh antara masyarakat bandar dan luar bandar.

“Tetapi, jika kita tidak ubah cara kita, kita akan sentiasa bergantung kepada penanaman semula dan bantuan kerana tanah kecil yang kita miliki. Jika kita tanam semula untuk empat atau lima tahun, ia tidak beri pulangan dan kita perlu bergantung kepada pinjaman dan bantuan.”

Pada sidang media kemudian, Mahathir berkata, sesetengah penanam padi bertindak terhadap gesaan kerajaan untuk mencantumkan tanah mereka.

“Saya tak tahu pasal PKPKM, tetapi ini caranya kerana jika anda teruskan dengan ladang kecil, anda tidak boleh buat keuntungan.”

Katanya, jika 20 orang mencantumkan tanah, mereka boleh menjadi pengarah dan mengambil profesional terlatih untuk mengendalikan ladang menggunakan teknik ladang besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.