
Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob berkata, pemimpin PH seolah-olah lupa dengan tindakan mereka sewaktu menjadi pembangkang yang mendesak pentadbiran terdahulu tidak menggunakan aset kerajaan semasa berkempen.
“Dulu dia kata jangan beli undi sebelum pilihan raya, jangan gunakan jentera kerajaan, jangan gunakan kedudukan dalam kerajaan untuk beli undi, tetapi sekarang mereka sudah mula beli undi.
“Pergi ke sana (Tanjung Piai) umumkan beri dana RM4 juta dan lain-lain, untuk apa? Kenapa sekarang, kenapa bukan sebelum pilihan raya. PH sudah menang setahun setengah.
“Sepatutnya sudah umumlah apa yang sepatutnya mereka umumkan, bukannya sebelum pilihan raya kecil berlangsung,” katanya sewaktu ditemui pemberita di luar Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam laporan FMT pagi tadi, bekas perdana menteri Najib Razak berkata kerajaan pusat setakat ini sudah mengumumkan projek bernilai RM7.3 juta dalam masa kurang seminggu menjelang PRK Tanjung Piai yang akan berlangsung bulan depan.
Najib turut menyenaraikan tiga pengumuman projek yang dibuat pemimpin PH, sejak 15 Okt lalu, yang menurut mereka akan memberi manfaat kepada penduduk Tanjung Piai.
Pengumuman Najib senaraikan itu termasuk pemasangan 264 lampu jalan di jajaran jalan raya luar bandar Tanjung Piai dengan kos RM127,776, dan geran bernilai RM230,000 untuk ketua kampung seperti yang diumumkan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun.
Bahkan turut merujuk Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengumumkan peruntukan RM4 juta untuk menaik taraf kemudahan sukan dan rekreasi di Tanjung Piai, serta peruntukan RM3 juta untuk menaik taraf tiga jeti nelayan di kawasan itu.
Ismail berkata, tindakan PH ini secara tidak langsung membuktikan pemimpin dari empat gabungan parti berkenaan tidak menghormati janji yang mereka sebelum ini.
“Jadi sangat jelas PH tidak pernah hargai apa yang dijanjikan, dalam manifesto mereka juga mereka katakan pilihan raya mesti bebas daripada campur tangan kerajaan dan sebagainya,” katanya.
Minggu lalu, Bersih 2.0 mempersoalkan PH berhubung tindakan mengumumkan projek persekutuan dan peruntukan menjelang PRK itu.
Kumpulan pemantau pilihan raya itu berjanji memantau secara rapat PRK akan datang bagi mengelak pelanggaran undang-undang pilihan raya oleh semua pihak, juga meminta PH menghentikan menteri persekutuan melawat Tanjung Piai.