PKR masih timbang permohonan Salleh Keruak

PKR masih timbang permohonan Salleh Keruak

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya sedang mempertimbangkan permohonan tersebut.

Salleh Said Keruak.
PETALING JAYA:
Permohonan bekas bendahari Umno, Salleh Said Keruak untuk menyertai PKR telah dibentangkan kepada biro politik parti yang bermesyuarat minggu lalu.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya sedang mempertimbangkan permohonan tersebut.

“Ia mengambil masa sedikit untuk menganalisa dan membuat keputusan. Itu memang proses biasa dalam permohonan menjadi anggota parti,” kata beliau dipetik Bernama.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi butiran lanjut mengenai tempoh keputusan berkenaan akan dibuat.

Pada awal bulan ini, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mengesahkan parti itu menerima permohonan Salleh yang dibuat dalam talian.

Salleh ialah anak Mohammad Said Keruak, bekas ketua menteri dan Yang di-Pertua Sabah pada pertengahan 1970-an.

Salleh dilantik sebagai ketua menteri dari 1994 hingga 1996, speaker Dewan Undangan Negeri Sabah dari 2010 hingga 2015 serta menteri komunikasi dan multimedia dari Julai 2015 hingga Mei 2018.

Beliau bertanding di kerusi Parlimen Kota Belud pada pilihan raya umum tahun lalu, tetapi tewas kepada sepupunya dari Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis.

Salleh yang pernah dilantik sebagai bendahari agung Umno dan timbalan ketua Umno Sabah, meninggalkan parti itu pada 12 Dis 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.