PAS sokong KDN haram komik kontroversi

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

PETALING JAYA: PAS menyokong Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan terhadap komik kontroversi ‘”nisiatif Jalur dan Jalan- Meraih Manfaat Bersama” selepas dilaporkan disebarkan ke seluruh sekolah menengah baru-baru ini.

Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata kerajaan perlu bertegas mengambil tindakan terhadap pihak yang melampaui batas dalam pengedaran komik tersebut.

“Tahniah KDN atas ketegasan.

“Kita perlu menolak budaya politik ‘makhluk perosak’ yang boleh menggugat keharmonian negara.

“Sekolah juga perlu diselamatkan daripada menjadi mangsa penyebaran dakyah yang boleh merosakkan pemikiran generasi muda, serta menghakis nilai hormat dan perpaduan dalam negara,” katanya di Facebook.

Semalam, KDN mewartakan perintah larangan terhadap komik tersebut atas alasan ia cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme serta menyebarkan fakta yang salah.

Selain itu, komik yang diterbitkan dalam tiga bahasa – Melayu, Inggeris, dan Cina – dikatakan mengelirukan pembaca serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

Warta perintah larangan ini adalah mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkat beliau mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk menyiasat segera jika terdapat mana-mana individu termasuk anggota dalaman yang bertanggungjawab membenarkan pengedaran komik itu.

Maszlee berkata KPM akan memastikan siapa sahaja jika terbukti benar dakwaan itu akan diberi tindakan tegas.

Baru-baru ini, media melaporkan komik itu dipercayai diedarkan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di negara ini.