Indonesia dipilih tuan rumah Piala Dunia Fifa B-20 2021

Indonesia dipilih tuan rumah Piala Dunia Fifa B-20 2021

Pemilihan Indonesia disampaikan oleh Presiden Fifa Gianni Infantino semasa pertemuan di Shanghai, China semalam, lapor media tempatan Indonesia.

Indonesia dipilih sebagai hos kejohanan bola sepak Piala Dunia B-20 yang akan berlangsung pada 2021.
JAKARTA:
Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) secara rasmi mengumumkan Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20 yang akan berlangsung pada 2021.

Pemilihan itu disampaikan oleh Presiden Fifa Gianni Infantino semasa pertemuan di Shanghai, China semalam, lapor media tempatan Indonesia.

Indonesia memenangi bidaan dengan menewaskan Brazil dan Peru. Ia sebahagian usaha negara itu yang mahu menganjurkan Piala Dunia Fifa 2034 atau 2038, bersama negara-negara Asean.

“Tahniah, Indonesia,” kata Infantino, lapor Tempo Online memetik laman web rasmi Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI).

Setiausaha Agung PSSI, Tisha Desria melahirkan rasa gembira dengan berkata, “Alhamdulillah, kerja keras kami berbuah.”

“Persembahan kami diterima dengan baik oleh Fifa. PSSI mengucapkan terima kasih kepada Presiden Joko Widodo yang mendukung PSSI sepenuhnya dan menghargai kementerian berkaitan dan ketua-ketua daerah yang telah berkomitmen untuk membantu PSSI dalam merealisasikan impian menjadi tuan rumah Piala Dunia 2021,” kata Tisha.

Presiden Joko Widodo atau Jokowi juga menyampaikan tahniah melalui akaun Instagram.

Beliau berkata bahawa 10 stadium telah ditetapkan untuk pengurusan kejohanan itu.

“Berita baik datang dari Mesyuarat Majlis Fifa yang diadakan di Shanghai, China, bahawa Indonesia dipilih menjadi tuan rumah Piala Dunia B-20 pada 2021,” kata Jokowi.

Sepuluh stadium yang dipilih terdiri daripada Gelora Bung Karno (Jakarta), Pakansari (Bogor), Manahan (Solo), I Wayan Dipta (Bali), Mandala Krida (Yogyakarta), Jakabaring (Palembang), Wibawa Mukti (Cikarang), Patriot (Bekasi) Jalak Harupat (Bandung), dan Gelora Bung Tomo (Surabaya).

Laporan Xinhua berkata, Indonesia merupakan satu-satunya negara dari Persekutuan Bola Sepak Asia membida hak penganjuran selepas Myanmar, Thailand, Bahrain, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menarik diri untuk bersaing.

Katanya, Fifa telah menjalankan tinjauan ke atas lima daripada 10 stadium terbabit dari 16 hingga 19 Sept lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.