
Bercakap kepada FMT, ketua penerangan PPBM Titiwangsa Wan Ahmad Fayhsal Kamal menggesa dilakukan pembaharuan yang akan membebaskan politik Malaysia daripada budaya naungan.
Katanya, tidak benar jika dikatakan pertumbuhan Malaysia terhalang oleh peristiwa tertentu, misalnya skandal seperti 1MDB.
“1MDB memang memberi kesan ke atas kita, tetapi ia hanyalah simptom,” katanya. “Kita tertinggal di belakang kerana politik naungan.
“Politik naungan merupakan penyebab orang Melayu gagal melahirkan kelas kapitalis sebenar. Terdapat ramai ahli perniagaan Melayu, tetapi jika anda tidak ada hubungan yang baik, anda tidak mendapat peluang untuk berkembang.”
Fayhsal, yang merupakan pembantu menteri belia dan sukan mengakui bahawa pembaharuan akan mengambil masa dengan berkata, politik naungan sangat berakar dalam psikik ahli perniagaan Melayu.
“Apabila usahawan Melayu mahukan wang cepat tanpa membina pertumbuhan syarikat mereka supaya menambah nilainya, mereka menggunakan kabel politik bagi mencapai tujuan itu dengan menyembunyikannya di sebalik langkah afirmatif.”

Katanya, beliau tidak menentang langkah afirmatf tetapi percaya adalah penting untuk memastikan ia tertakluk kepada mekanisme pemantauan.
Beliau juga menyebut tentang bahaya memperkenalkan “pembaharuan segera” yang menurutnya boleh merosakkan agenda kerajaan.
“Jika pembaharuan tidak dilakukan dengan teliti, Pakatan Harapan (PH) akan hilang sokongan orang Melayu,” katanya.
“Akibatnya keseluruhan agenda pembaharuan akan gagal.”
Beliau merujuk kepada keputusan yang menghendaki golongan profesional mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai satu langkah pembaharuan yang diperkenalkan oleh PH.
“Langkah ini pun telah menimbulkan rungutan dalam kalangan akar umbi kerana mereka telah terbiasa dengan idea bahawa mereka boleh diberikan jawatan kerana mempunyai hubungan dengan parti,” katanya.
“Itulah keadaannya semasa pemerintahan Umno. Semua parti orang Melayu akan berdepan cabaran sama.
“Jika anda mahu meneruskan politik naungan, maka anda memerlukan wang yang banyak untuk menampungnya.”
Fayhsal sebelum itu berucap pada satu forum mengenai belanjawan kerajaan persekutuan.
Dalam ucapannya beliau berkata, walaupun ekonomi gig memberi kesan ke atas pasaran kerja, namun ia juga mencipta peluang pekerjaan lain.
Beliau juga berkata, kebanyakan pekerjaan di pasaran hari ini lambat laun akan digantikan dengan teknologi.
Beliau juga bercakap tentang ketidakselarasan antara keperluan industri dengan set kemahiran yang dimiliki generasi muda Malaysia dengan berkata, ia merupakan antara sebab utama kenapa graduan universiti turut terlibat dalam ekonomi gig.
“Kerajaan dan sektor swasta perlu bekerjasama dalam menyediakan program latihan semula bagi membolehkan golongan muda memperoleh pekerjaan lebih bermutu dan bernilai tinggi, sama ada secara tetap atau dalam ekonomi gig.”
Katanya, ini merupakan sesuatu yang sedang diusahakan oleh kementerian belia melalui Inisiatif Akademi Harimau Asia dan pelbagai program latihan dan pendidikan teknikal serta vokasional.