Konflik Muhyiddin-Dr M bercanggah naratif ‘perpaduan Melayu’, kata penganalisis

Konflik Muhyiddin-Dr M bercanggah naratif ‘perpaduan Melayu’, kata penganalisis

Mazlan Ali berkata pertelagahan terbuka itu melemahkan usaha Dr Mahathir Mohamad menghimpunkan parti Melayu di bawah sebuah gabungan menjelang PRU16.

muhyiddin yassin mahathir mohamad
Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan dalam video tular di mana Dr Mahathir Mohamad menuduhnya mencuri dan menyimpan dana parti di rumahnya serta mengejar jawatan tertinggi untuk elak dipenjarakan.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis menyifatkan naratif “penyatuan orang Melayu” dibawa pembangkang lebih bersifat retorik berbanding realiti kerana pertelagahan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan penyelewengan dana parti bercanggah dengan agenda itu.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, pertelagahan terbuka itu menunjukkan tokoh politik Melayu utama tidak mampu bekerjasama, walaupun Mahathir berusaha mempromosikan “payung besar orang Melayu”.

“Jika Mahathir gagal (menamatkan pertelagahan ini) dan terus bertengkar dengan Muhyiddin, parti Melayu lain tidak akan berminat dengan rancangan penyatuan itu kerana mereka melihat (kedua-dua pemimpin) sebagai tokoh Melayu utama yang tidak mampu bekerjasama,” katanya kepada FMT.

Mazlan turut mengkritik versi “penyatuan orang Melayu” dibawakan Mahathir kerana mengecualikan orang Melayu yang menyokong Umno, PKR dan Amanah.

“Agenda penyatuan orang Melayu perlu merangkumi semua pihak, bukan pihak tertentu saja. Sekarang ia kelihatan seperti hiasan semata-mata untuk memenuhi keperluan pihak tertentu.”

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula mempersoalkan pertelagahan itu berlaku ketika Perikatan Nasional (PN) memasuki fasa kritikal menjelang PRU16.

Beliau memberi amaran pertelagahan itu boleh mengelirukan pengundi Melayu kerana Mahathir menggunakan PN pimpinan Muhyiddin sebagai wadah untuk menyampaikan mesej “penyatuan orang Melayu”.

“Ini kerana orang Melayu yang menyokong Mahathir, secara tidak langsung, turut menyokong PN.”

Dua penganalisis itu mengulas gesaan Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, supaya Muhyiddin dan Mahathir mengadakan pertemuan tertutup untuk menyelesaikan pertelagahan itu.

Satu video pendek tular menunjukkan Mahathir seolah-olah menuduh Muhyiddin mencuri dan menyimpan dana parti di rumahnya, serta mengejar jawatan perdana menteri untuk mengelak dipenjarakan.

Mahathir dan Muhyiddin membawa haluan masing-masing selepas Langkah Sheraton pada 2020, yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dan Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri. Tetapi, dua bekas perdana menteri itu menunjukkan hubungan lebih mesra kebelakangan ini.

PAS perlu campur tangan?

Mazlan berkata, PAS boleh memainkan peranan orang tengah disebabkan pengaruh kuatnya dalam kalangan pengundi Melayu.

“Saya fikir PAS dalam kedudukan meyakinkan untuk memainkan peranan pendamai di sini.”

Bagaimanapun, Azmi berpendapat, PAS mungkin sukar kekal neutral memandangkan isu itu turut membabitkan PN.

“Saya ragui PAS boleh menjadi pendamai benar-benar berkesan dalam perkara ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.