Penduduk Rantau Panjang bersiap hadapi banjir

Penduduk Rantau Panjang bersiap hadapi banjir

Rata-rata penduduk Kampung Terusan di Rantau Panjang menggunakan sampan atau bot sebagai pengangkutan utama pada musim banjir.

Penduduk di Rantau Panjang kerap berdepan ‘banjir termenung’ setiap kali musim tengkujuh kerana kedudukannya yang berdekatan dengan Sungai Golok. (Gambar Bernama)
PASIR MAS:
Setiap kali musim tengkujuh, air Sungai Golok akan melimpahi Kampung Terusan di Rantau Panjang di sini dan menjadi igauan penduduk kampung itu, terutama apabila memikirkan masalah kerosakan harta benda dan sebagainya.

Bosan dengan masalah kerosakan perabot serta peralatan elektrik setiap kali banjir melanda, seorang penduduk mengambil inisiatif membina sebuah bilik stor yang ketinggiannya mencecah tiga meter.

Ismail Salleh, 74 sanggup membelanjakan RM40,000 bagi membina sebuah bilik tambahan di rumahnya yang berfungsi sebagai stor menyimpan barangan rumah ketika tiba musim banjir.

“Pembinaan bilik tambahan ini merupakan langkah jangka panjang bagi menghadapi tengkujuh. Ia dibina pada ketinggian melebihi tiga meter dan diharap dapat menyelamatkan barangan yang disimpan di situ.

“Sebelum ini paras lantai rumah saya sentiasa dinaiki air apabila musim banjir sehingga merosakkan banyak barangan elektrik serta perabut.

“Harapan saya kali ini air banjir tidak lagi dapat memasuki kawasan bilik yang baru dibina ini,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu anaknya, Mohd Nizam, 40, berkata, kawasan kampung itu yang turut didiami 50 keluarga lain sentiasa berhadapan dengan “banjir termenung”, iaitu air banjir yang lambat surut.

Beliau berkata, bagi mengatasi perkara tersebut, penduduk biasanya akan membuat titi untuk yang menyambungkan rumah ke laluan utama jalan raya untuk memudahkan sebarang urusan.

“Titian ini biasanya dibuat dengan beberapa batang buluh panjang dari tebing ke tangga rumah bagi memudahkan pemilik rumah yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara untuk keluar membeli barangan keperluan terutama ketika “banjir termenung” berlaku.

“Ada juga penduduk yang membeli perahu atau bot gentian jika tidak membina titi untuk berulang-alik. Kenderaan seperti motosikal dan kereta juga diletakkan di kawasan tinggi lebih awal bagi mengelak kerugian,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Izariq Affendi Mohd Nawi, 19, berkata, setiap rumah penduduk di situ mempunyai bot atau perahu sebagai persediaan.

Katanya, kesemua perahu atau bot biasanya diletakkan di bawah rumah dan sekiranya paras air mencapai paras lutut barulah ia dikeluarkan.

“Setiap kali banjir melanda, bot atau perahu adalah pengangkutan utama walaupun ada sesetengahnya sudah terlampau usang.

“Sepertimana saya, perahu yang digunakan ini digunakan oleh datuk saya dan kini saya generasi ketiga masih boleh menggunakannya lagi,” katanya.

Katanya, walaupun hujan mulai berlaku dan tidak lebat seperti musim tengkujuh, namun persiapan awal perlu dilakukan kerana kawasan kampung ini akan ditenggelami air banjir kerana terletak di kawasan rendah, apatah lagi jarak Sungai Golok hanya 40 meter sahaja dari kampung mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.