Muhyiddin sahkan DAP tiada kaitan dengan LTTE

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata penahanan beberapa individu termasuk pemimpin DAP awal bulan ini hanya membabitkan tindakan individu terbabit.

PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin mengesahkan DAP, komponen Pakatan Harapan, tidak terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) meskipun dua daripada Adunnya telah didakwa mahkamah pagi tadi.

Bercakap di Parlimen hari ini beliau berkata, penahanan beberapa individu termasuk pemimpin DAP awal bulan ini hanya membabitkan tindakan individu terbabit dan bukan mewakili organisasi parti politik.

“Sebagai parti, DAP tidak terbabit, yang diambil tindakan adalah individu tertentu. Itu undang-undang bukan soal organisasi politik,” kata beliau yang juga presiden PPBM, satu lagi komponen PH.

Muhyiddin berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Awal bulan ini, dua Adun DAP merupakan antara 12 individu ditahan kerana dipercayai ada kaitan dengan usaha menghidupkan semula LTTE di Malaysia.

Individu terbabit dilaporkan bukan saja mempromosi, menyokong, menghasut dan menggalak orang ramai, malah turut mencari dana untuk kumpulan pengganas LTTE.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pernah berkata tindakan polis menahan 12 individu itu adalah mengikut lunas undang-undang sementara beberapa pihak melabel DAP mempromosikan keganasan.

Minggu lalu, PAS meminta kerajaan mengharamkan DAP kerana wakil rakyat dan ahlinya ditahan kerana ada kaitan dengan LTTE.

Sepuluh daripada 12 individu yang ditahan termasuk 2 Adun DAP didakwa hari ini secara berasingan di mahkamah sesyen di lima buah negeri.