PAS tolak tawaran Umno jadi exco Perlis, kata Tuan Ibrahim

PAS tolak tawaran Umno jadi exco Perlis, kata Tuan Ibrahim

Timbalan Presiden PAS itu berkata pihaknya menghormati hak kerajaan Perlis dan PAS buat keputusan untuk tidak bersama.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.
KUALA LUMPUR:
PAS mendedahkan kerajaan Perlis yang ketika ini ditadbir Barisan Nasional (BN) pernah menawarkan satu jawatan exco kepada pemimpin PAS di negeri berkenaan.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, PAS mengambil keputusan tidak menerima jawatan itu, namun mengambil prinsip akan menyokong polisi kerajaan Perlis.

“Ada sesetengah negeri macam kerajaan negeri Perlis dia ada kekosongan, dia (Perlis) tawarkan kita. Kita hormati hak kerajaan Perlis dan PAS buat keputusan untuk tidak bersama.

“Tetapi kita menyokong semua polisi kerajaan Perlis dan Pahang, sepertimana mereka menyokong polisi kita di Terengganu dan Kelantan,” katanya di Parlimen, hari ini.

Pada 14 September lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, memang ada perancangan memulakan penyertaan wakil Umno dalam kerajaan negeri pimpinan PAS seperti Kelantan dan Terengganu.

Bagaimanapun Hadi berkata, ia masih terlalu awal untuk diperkatakan dan akan diperincikan melalui mesyuarat jawatankuasa penyelaras kedua-dua parti bila tiba waktunya.

Tuan Ibrahim berkata, kerajaan Kelantan dan Terengganu tidak akan menubuhkan satu jawatan exco baru bagi menempatkan pemimpin Umno walaupun kedua-dua parti itu sudah bersama menerusi Muafakat Nasional.

“Untuk jawatan exco ada kuotanya dan kuota itu sudah penuh. Ketika ini ia berjalan seperti mana yang ada sekarang ini, cumanya Umno tidak akan jadi lagi pembangkang, dia akan bersama kerajaan,” katanya.

Jelasnya, kerajaan Terengganu dan Kelantan bagaimanapun ada menawarkan beberapa kedudukan untuk pemimpin Umno, namun tidak menjelaskan sama ada mereka akan terlibat secara langsung atau tidak.

“Sekarang ini ada beberapa ‘position’, tetapi bukan exco, ia agensi kerajaan. Itu kita lihat di kerajaan Terengganu dan Kelantan. Namun kita akan lihat sama ada terlibat secara langsung atau tidak.

“Cumanya, yang penting adalah kerjasama. Ia menggambarkan muafakat kita sudah berjalan di peringkat kerajaan negeri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.