
Beliau berkata, peserta industri itu perlu menawarkan pakej latihan, saraan dan imej profesion kawalan keselamatan yang lebih menarik kepada pekerja tempatan.
“Ini termasuk menggalakkan penggunaan teknologi terkini dalam industri kawalan keselamatan yang pastinya akan meningkatkan kecekapan, selain mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing,” katanya berucap dalam majlis perjumpaan industri kawalan keselamatan dan agensi persendirian sempena taklimat pembaharuan lesen agensi persendirian hari ini.
Muhyiddin berkata, penggunaan teknologi terkini akan menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat untuk mencapai matlamat meningkatkan pendapatan dan taraf hidup dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang merupakan dasar teras kerajaan.
“Untuk meningkatkan mutu industri kawalan keselamatan di negara ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan sentiasa meneliti cadangan yang dikemukakan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia dari semasa ke semasa.
“Saya percaya dengan input konstruktif daripada pihak industri, kerajaan dapat menggubal dasar dan melaksanakan inisiatif lebih berkesan dalam meningkatkan mutu dan martabat industri kawalan keselamatan negara.”
Beliau turut memberi amaran kepada syarikat kawalan keselamatan yang KDN tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang.
Katanya, lesen 62 syarikat kawalan keselamatan dibatalkan atas pelbagai kesalahan sejak 2013 hingga kini.
“Antaranya menggaji pengawal keselamatan dalam kalangan pendatang asing tanpa izin, syarikat gagal membuat tapisan keselamatan ke atas kakitangan, penggunaan kad pengenalan palsu dan kesalahan melibatkan senjata api.
“Saya berharap kesalahan ini tidak diulangi lagi kerana ia pastinya membawa kerugian kepada syarikat, selain mendatangkan ancaman keselamatan kepada orang ramai.”
Muhyiddin berkata, demi mewujudkan sinergi dan hubungan lebih rapat antara polis dan pengawal keselamatan, kerajaan mewajibkan pengawal keselamatan dilatih polis melalui Program Latihan Pengawal Keselamatan Bertauliah (CSG).
Sehingga kini, katanya, seramai 103,905 pengawal keselamatan tempatan dilatih di bawah program itu membabitkan 92,589 lelaki dan 11,316 wanita.
“Kerajaan melalui polis merancang menyediakan kapasiti latihan mencukupi bagi menampung sasaran pengawal keselamatan tempatan yang dilatih pada 2020, iaitu seramai 28,500 orang.”