Kadir: Boleh potong harga tol kalau Khazanah simpan PLUS?

Kadir: Boleh potong harga tol kalau Khazanah simpan PLUS?

Apa kebaikan yang Khazanah boleh beri pada rakyat dan kerajaan, kata Kadir Jasin.

A Kadir Jasin.
PETALING JAYA:
Bolehkah Khazanah Nasional Berhad beri potongan harga tol sekiranya ia mahu “simpan” PLUS Malaysia Bhd, kata wartawan veteran A Kadir Jasin, ketika dana kekayaan negara itu tidak berminat menjual syarikat konsesi lebuh raya tersebut.

“Apa kebaikan yang Khazanah boleh bagi kepada rakyat jelata dan kerajaan?” katanya di Facebook hari ini.

Kadir berkata ketika ini banyak pihak berminat untuk membeli PLUS, dan mengingatkan pengguna pula mahu tol dihapuskan atau harga tol dikurangkan.

“Semua pelamar PLUS janji kurangkan kadar tol,” katanya. “Bolehkah Khazanah bagi potongan tol dan tidak minta pampasan daripada kerajaan?”

“Cakap saja tak guna,” tambahnya.

Pengarah Urusan Khazanah, Shahril Ridza Ridzuan hari ini berkata syarikatnya, yang memiliki 51% kepentingan dalam PLUS, mengekalkan pendirian untuk tidak menjual pegangannya.

Laporan Bernama awal hari ini memetik Widad Business Group Sdn Bhd menaikkan tawarannya untuk memperoleh 100 peratus kepentingan ekuiti dalam PLUS dengan jumlah nilai perusahaan sebanyak RM38.34 bilion.

Ini termasuk RM5.3 bilion untuk kepentingan ekuiti, pengecualian pampasan sebanyak RM3.04 bilion dan andaian hutang sebanyak RM30 bilion.

Tawaran lain untuk PLUS adalah daripada ahli perniagaan Halim Saad, bersama dengan rakan niaga, Wong Gian Kui, yang merancang untuk mengambil alih keseluruhan kepentingan dalam PLUS dengan nilai RM5.2 bilion.

Maju Holdings Sdn Bhd, pengendali Maju Expressway, juga mengemukakan tawarannya untuk memperoleh PLUS dengan nilai perusahaan sebanyak RM34.9 bilion termasuk hutang PLUS kepada pemegang bonnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.