
Edmund Terence Gomez menyeru ketelusan dan kebertanggungjawaban lebih tinggi terhadap syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), seperti yang dijanjikan manifesto Pakatan Harapan (PH).
Dalam pembentangan laporan mengenai GLC yang disediakan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), di mana Gomez seorang felo kanan, beliau berkata bilangan GLC bawah Kementerian Kewangan berkurangan kerana banyak dipindahkan ke bawah Jabatan Perdana Menteri.
“Walaupun Lim Guan Eng dilantik menteri kewangan, kawalan sebenar perusahaan-perusahaan penting kerajaaan bawah bidang kuasanya, termasuk dana kekayaan negara Khazanah Nasional dan dana pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri,” kata laporan itu.
Beliau berkata Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, dan Kementerian Pembangunan Usahawan – yang katanya diketuai menteri-menteri yang bersekutu dengan Mahathir – memainkan peranan penting dalam memastikan cengkaman perdana menteri ke atas sektor korporat.
“Kementerian-kementerian ini diketuai ahli PPBM Rina Harun dan Redzuan Yusof, dan Azmin Ali (PKR) yang merupakan sekutu Mahathir.
“Jabatan Perdana Menteri kawal perniagaan-perniagaan besar. Kementerian Hal Ehwal Ekonomi kawal GLC Bumiputera.
“Kementerian Pembangunan Luar Bandar kawal badan-badan berkanun, memberikan mereka pengaruh yang ketara di kawasan luar bandar, dan Kementerian Pembangunan Usahawan kawal industri perusahan kecil dan sederhana.
“Keseluruhan sektor korporat bawah kawalan PPBM, dan dengan Azmin,” kata Gomez, yang juga menggelar Mahathir “menteri kewangan de facto”.
Gomez berkata Lim nampak seperti boneka sebuah kementerian yang sudah “dipancung”, mengatakan kementeriannya sekadar pengawal selia perbelanjaan kerajaan.
Beliau juga berkata beberapa pelantikan politik dibuat di GLC bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, dengan lapan wakil dari PPBM, PKR dan Amanah diberi peranan pengarah.
“PPBM melalukan apa yang pernah dilakukan Umno. Mereka menggunakan sistem yang sama, mereka main permainan naungan yang sama.
“Mereka memberikan jawatan pengarah kepada orang-orang yang kalah supaya mereka terus setia pada parti. Dalam erti kata lain, tiada perubahan sistem. Pada hakikatnya, sistem itu diperkukuhkan,” katanya.
“Adakah penyusunan semula ini yang kita mahu lihat? Ini penyusunan semula kuasa. Sistem sama disalah guna oleh ahli politik disalah guna oleh kerajaan semasa. Sekarang kamu tahu kenapa mereka tidak mahu buat perubahan pada dunia GLC. Ia terlalu penting.”
Beliau berkata GLC patut diletakkan bawah jawatankuasa pilihan Parlimen, mengatakan pada asasnya ia lebih kepada kawalan daripada keberadaan orang profesional.
“Kamu boleh lantik orang profesional, tetapi pada asasnya adalah mereka bertanggungjawab sepenuhnya atau mereka mengikut perdana menteri?
“Saya tak fikir mereka ada autonomi. Perkara-perkara seperti ini yang kita mahu tangani,” katanya, merujuk kepada pelantikan Mahathir sebagai pengerusi Khazanah.