Saingan 6 penjuru: Beruntungnya siapa?

Saingan 6 penjuru: Beruntungnya siapa?

Ini atas faktor jentera yang lebih besar, lebih banyak pengikut dan ahli, mekanisme sistem parti yang lebih berpengalaman dan efisien

Calon PH, Karmaine Sardini (tengah) pada sesi tinjauan mesra bersama penduduk sekitar Pasar Pagi Pekan Nanas hari ini. Sesi tinjauan mesra ini adalah aktiviti kempen pertama Karmaine selepas penamaan calon semalam. (Gambar Bernama)
ANALISIS:
Meskipun Harimau Selatan menjulang Piala Malaysia edisi 2019 malam tadi dan kemenangan diraikan, ia tidak mengubah bahang pilihan raya kecil di Tanjung Piai.

Parti-parti politik tidak membuang setiap minit tempoh berkempen untuk mendekati pengundi kawasan Tanjung Piai, yang duduk di depan peti televisyen dan skin besar di kedai dan restoran untuk mengikuti kehebatan JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Tidak ketinggalan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin beramah mesra bersama dengan pengundi di Pekan Nenas, menonton final antara JDT dan Kedah. Muhyiddin yang hadir di Warung Corner 800 di Pekan Nenas meluangkan masa kira-kira tiga jam, sehingga akhir perlawanan.

Tidak ada ceramah umum malam semalam, lebin tertumpu kepada menonton perlawanan akhir Piala Malaysia. Manakala calon BN mengadakan ceramah umum bersama Presiden MCA, Wee Ka Siong. Tidak banyak yang diperkatakan selain menjanjikan dan cuba menambat semula hati pengundi Cina di Pekan Nenas.

Berbanding kunjungan saya dua minggu lalu, persekitaran di Tanjung Piai jauh berubah. Tanjung Piai lebih rancak dan aktif dengan kehadiran lautan manusia di luar dugaan dan di luar jangkaan.

Sebuah bandar kecil tiba-tiba riuh dengan lautan manusia. Mereka turun untuk memulakan kempen gelangang pilihan raya kecil yang menyaksikan persaingan enam penjuru, membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan dua Bebas.

Calon BN, Wee Jeck Seng ketika menghadiri majlis perkahwinan, sebahagian daripada proses kempen beliau hari ini.

Bagi sebuah kawasan yang pengundinya lebih 53,000 orang, pertarungan enam penjuru memang “agak padat”. Tetapi sistem demokrasi membenarkan sesiapa saja bertanding. Negara pernah menyaksikan hampir satu dozen calon dalam pilihan raya kecil satu dekad lalu di Bukit Selambau, Kedah.

Berdasarkan pemerhatian FMT tumpuan dilihat lebih kepada BN dan PH atas faktor jentera yang lebih besar, lebih banyak pengikut dan ahli, mekanisme sistem parti yang lebih berpengalaman dan efisien dari parti-parti lain yang bertanding.

Selain itu, faktor calon anak tempatan juga memainkan peranan penting. Misalnya calon dari MCA, Wee Jeck Seng yang mewakili BN dilihat mula mendapat sokongan, lebih lagi status pernah menjadi wakil rakyat di Tanjung Piai, dua penggal sebagai ahli Parlimen dan satu penggal sebagai Adun.

Calon PH, Karmaine Sardini dari PPBM dikatakan turut mempunyai peluang apabila dilihat dibantu jentera PH yang ramai dan mendapat sokongan daripada pimpinan PH.

Bersemangat dan yakin

Penyokong PH ditemui bersemangat dan mempunyai keyakinan calon mereka boleh mempertahankan kerusi Tanjung Piai. Mereka tidak mempunyai masalah dengan umur Karmaine dan berkata, ada kalanya calon berusia diperlukan sebab pengalaman dan kewibawaan mereka boleh digunakan untuk mendapatkan undi.

Bagi penyokong BN pula dilihat sudan menerima Wee sebagai calon mereka walaupun akui pada mulanya kecewa sebab calon dari Umno tidak dipilih. Mereka bagaimanapun menyatakan sokongan penuh kepada Wee, di samping mendapatkan undi Cina dan yakin BN akan merampas balik kerusi Tanjung Piai.

Calon Gerakan, Wendy Subramaniam ditemui wartawan selepas sesi berkempen awal pagi ini.

Kehadiran parti lain dan calon bebas lebih bersifat meraikan kesuburan demokrasi dan pengaruh mereka akan terbatas dan mekanisme mereka kurang. Selain Wee dan Karmaine, calon bertanding terdiri daripada Wendy Subramaniam, Badhrulhisham Abdul Aziz, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Dalam pada itu, penduduk tempatan Mohd Umar Husin, 60, berkata, tidak sukar untuk membuat pilihan. Mendakwa sebagai penyokong tegar PH, dia berkata, parti itu ada kelebihan walaupun berpandangan semua parti bagus.

“Kita kadang-kadang nak beralih arah dan kita akan ikut. Calon berusia tidak jadi masalah. Nyawa bukan kita tentukan. Kalau muda dia nak ambil pun boleh juga,” kata Umar.

Dia berkata manusia kadang-kadang ada membuat silap dan mengakui wujud tentangan sengit antara BN dan PH.

“Pertandingan enam penjuru menyebabkan pecahan undi dan agak sengit. Tetapi ramai undi berdasarkan parti bukan calon,” katanya.

Seorang lagi penduduk tempatan, Muqri Moktar, 46, berkata dia tidak menolak ada sesetengah pengundi Umno dan PAS akan mengundi calon Gerakan dan Berjasa.

Katanya, penyokong PAS yang tidak berpuas hati mungkin akan beri undi kepada Berjasa.

Namun, Muqri tidak menolak akan melihat tempoh 14 hari kempen ini untuk menilai apa yang cuba dibawa dan dijanjikan untuk pengundi. Tarikh pengundian adalah pada 16 Nov.

Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin ‘berkempen’ dengan menonton perlawanan akhir Piala Malaysia bersama penyokongnya di Warung Corner 800 di Pekan Nenas malam tadi.

“Kita tunggu dan lihat dulu apa dijanjikan. Jika masalah setempat seperti isu nelayan, jalan raya atau sebagainya tak diselesaikan kita akan beri undi kepada calon yang betul-betul meyakinkan,” kata Muqri.

Mudarat bagi BN dan PH

Mengulas perkembangan kempen hari pertama, penganalisis politik Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, kemungkinan besar enam penjuru itu memberi kemudaratan kepada dua calon utama iaitu BN dan PH.

Beliau melihat pengundi “disogok” dengan isu dalaman dan akan ada undi protes terhadap BN dan PH.

“Penyokong PAS sudah tentu berbelah bahagi dengan calon dari MCA walaupun pemimpin tertinggi PAS menyatakan sokongan. Dengan adanya calon Berjasa, maka ia memberi peluang untuk penyokong PAS sokong Berjasa kerana ikatan Gagasan kedua-dua parti,” katanya kepada FMT.

Begitu juga dengan penyokong Umno mungkin tidak puas hati dengan pemilihan calon juga akan mengundi Berjasa, kata beliau sambil menegaskan, calon PH juga mungkin hadapi undi protes kerana tidak puas hati dengan prestasi kerajaan dan dengan adanya calon Gerakan, membuka ruang kepada undi protes.

“Cuma tahap mana rasa tidak puas hati ini akan menjelma sebagai undi protes sukar ditentukan sama ada calon BN atau PH yang akan menerima manfaat atau bala dengan pertandingan enam penjuru,” katanya.

Sebagaimana diakui semua parti, keputusan 16 Nov nanti adalah penting bagi kesemua calon yang bertanding. Tumpuan di hujung kawasan parlimen hujung Semenanjung sudah mula dirasai. Musim bola sepak tempatan sudah berlaku. Musim pilihan raya akan mencorakkan drama politik negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.