
“Kami berpendirian amat tegas dan akan mengambil tindakan terhadap Petronas secepat mungkin,” kata Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek Sarawak, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali hari ini.
Katanya, kerajaan negeri sudah mengeluarkan notis taksiran kepada Petronas pada Sept lalu, tetapi belum menerima sebarang respons.
Beliau berkata, Petronas pada mulanya meminta kerajaan negeri tidak mengambil tindakan undang-undang kerana menunggu Putrajaya memberi “lampu hijau” untuk membayar cukai jualan itu.
“Tetapi, belum ada hasil walaupun rundingan dan notis taksiran dikeluarkan.”
Semalam, Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg dilaporkan berkata, kerajaan negeri mengeluarkan notis taksiran kepada Petronas untuk membayar cukai jualan 5% bagi produk petroleum.
“Di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998, Petronas wajib membayar cukai jualan kepada negeri itu dan kegagalannya berbuat demikian sama seperti melanggar undang-undang,” katanya ketika membentangkan cadangan Belanjawan Sarawak 2020 di Dewan Undangan Negeri.
Katanya, kerajaan negeri akan menguatkuasakan undang-undang, jika Petronas gagal membayar cukai itu.
Sharifah yang juga Adun Semariang berkata, Putrajaya juga tidak memberi respons terhadap isu berhubung hak negeri itu.
Kerajaan Sarawak dilapor menetapkan 31 Okt lalu sebagai tarikh akhir untuk Putrajaya menamatkan semua rundingan berhubung isu belum selesai membabitkan hak negeri itu, khasnya berkaitan minyak dan gas.
“Kami tidak menerima sebarang cadangan Putrajaya untuk perbincangan lanjut. Saya tidak pasti kenapa (mereka berbuat demikian) dan ini mengecewakan kami.”