50% kempen selesai, sentimen pengundi Melayu, Cina curi tumpuan Tg Piai

50% kempen selesai, sentimen pengundi Melayu, Cina curi tumpuan Tg Piai

Hanya calon PH dan BN yang aktif sementara penampilan calon Berjasa dan Gerakan agak terhad kerana kekurangan jentera manakala calon bebas hadapi kesukaran untuk bertemu pengundi.

Bahang pilihan raya kecil yang menjadi fokus antara calon BN dan PH sudah mula dirasai di Tanjung Piai.

ANALISIS: Hari ini masuk hari ketujuh kempen pilihan raya kecil Tanjung Piai. Bahang kempen makin dirasai penduduk tempatan. Hanya satu persoalan dilontarkan – siapa yang bakal menjadi wakil rakyat Tanjung Piai. Parti mana bakal diumumkan “juara Tanjung Piai”.

Bahang ini bukan sahaja dirasai di Tanjung Piai, tetapi di seluruh negara termasuk di ibu negara di mana persidangan Dewan Rakyat sedang berlangsung.

Parti dan calon bertanding tidak membazirkan setiap minit tempoh berkempen untuk mendekati penduduk Tanjung Piai termasuk memasang sepanduk, bendera dan mengedar risalah calon di DUN Kukup dan Pekan Nanas.

Malah, bermula malam kedua iaitu Ahad lalu, setiap hari akan ada ceramah umum Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Seminggu berkempen, setiap calon yang bertanding kini sudah mengerakkan “gear” kedua dan akan memasuki “gear” ketiga dalam usaha mendekati dan memikat hati pengundi.

Calon-calon memperagakan kekuatan masing-masing dengan menjanjikan kelebihan sekiranya pengundi memberi undi kepada mereka.

Aduan kesalahan berkempen

Setakat ini tiga laporan polis dibuat oleh penyokong PH, BN dan Gerakan. Satu laporan polis ditujukan kepada calon BN, Wee Jeck Seng yang didakwa terlibat dengan rasuah dalam projek Permit Masuk Kenderaan (VEP). Namun Wee menafikannya dan menyifatkan dakwaan itu sebagai bermotif politik.

Penyokong BN pula membuat laporan polis terhadap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berhubung kenyataan yang didakwa rasis. Manakala calon Gerakan, Wendy Subramaniam membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas posternya dijatuhkan dan didakwa menjadi boneka PH di media sosial.

Calon Gerakan, Wendy Subramaniam beramah mesra dengan pengundi Cina di kawasan Pekan Nanas.

Wendy bagaimanapun berkata Gerakan masih relevan dan mahu menjadi suara ketiga.

Semalam, merujuk kepada tindakan menurunkan poster yang tiada nama pencetak, Suruhanjaya Pilihan Raya mengeluarkan kenyataan menafikan pihaknya tidak berlaku adil kepada calon-calon dan parti-parti yang bertanding.

Dalam perang antara BN dan PH, tidak ketinggalan calon Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Badhrulhisham Abdul Aziz memanaskan keadaan dengan membuat pendedahan PAS dan Umno tidak berbincang dengan partinya ketika mahu bertanding di Parlimen itu. Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan membidas Berjasa dan berkata jangan mengaitkannya dengan Umno.

Sementara itu, calon bebas, Ang Chuan Lock, 49, pula mengorak langkah memulakan kempen pilihan raya meskipun mendakwa hanya menumpukan pendekatan media sosial semata-mata. Teka-teki kehilangan seorang lagi calon bebas mewakili Gabungan Pemandu Teksi SeMalaysia (GTSM), Faridah Aryani Abdul Ghaffar, 43, dalam kalangan pengamal media juga terjawab apabila beliau mengumumkan akan mengadakan sidang media tengah hari ini.

Kelebihan calon BN

Berdasarkan pemerhatian sepanjang enam hari berkempen iaitu sehingga tengah malam tadi, Wee dilihat mempunyai kelebihan daripada aspek sambutan pengundi terhadap program turun padang calon pilihan raya di mana ceramah berkelompok dilihat lebih meriah berbanding calon PH, Karmaine Sardini.

Paling ketara pada malam 6 Nov lalu, ceramah perdana BN yang diketuai Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Abdul Hadi Awang; Presiden MCA, Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan mendapat sambutan meriah yang turut dihadiri 2,000 hadirin termasuk pengundi Cina Tanjung Piai.

Perbezaan itu dilihat apabila tidak ramai pengundi yang menghadiri ceramah umum PH dan ketika calon parti itu membuat “walkabout”.

Calon Barisan Nasional, Wee Jeck Seng membuat ‘walkabout’ di Pasar Pagi Pekan Nanas.

Malah, Karmaine membuat kenyataan kontroversi pada ceramah PH di Penerok pada 3 Nov lalu apabila mengatakan pekebun sawit perlu bersyukur harga komoditi itu RM270 satu tan dan orang kampung tidak memerlukan duit yang banyak. Kenyataan Karmaine itu dikritik hebat oleh penyokong pembangkang termasuk calon Gerakan sendiri.

Dari aspek pengundi Cina, dalam satu program forum kopitiam di DUN Pekan Nanas, kehadiran Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong juga dilihat gagal menarik perhatian lebih ramai pengundi cina. Pengundi Cina ditemui FMT di program itu berkata penerangan pemimpin PH masih belum meyakinkan mereka terutama dalam kelompok warga tua.

Trend perubahan pengundi Cina ini berbeza ketika PH menjadi pembangkang semasa PRU14 yang dapat dilihat memenuhi segenap penjuru.

Situasi itu disebabkan sebahagian pengundi Cina marah dan merajuk dengan PH apabila banyak manifesto yang dijanjikan, tidak ditunaikan lagi.

Dari sudut pengundi Melayu, isu boikot Wee sudah tidak timbul, malah dilihat mereka bersemangat untuk mengalahkan PH. Bagi para nelayan, pekebun sawit dan peniaga, masing-masing dikatakan mahu Wee menang dalam PRK kali ini.

Begitu juga dengan penyokong PAS yang ditemui berkata mereka taat kepada Hadi yang berkata perlu memberi sokongan kepada Wee.

Terlalu awal tentukan pemenang

Namun masih terlalu awal untuk memperkatakan calon mana lebih berpeluang menang pilihan raya kecil Tanjung Piai kerana perjalanan kempen masih ada berbaki seminggu lagi dan segala kemungkinan trend mungkin akan berubah dari semasa ke semasa.

Mengulas perkembangan kempen hari pertama, penganalisis politik Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata seperti yang dijangkakan pembangkang sering menggunakan jumlah kehadiran dalam ceramah sebagai kayu ukur sokongan pengundi terhadap mereka.

Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini bertemu dengan pengundi Cina di Kukup semasa membuat ‘walkabout’.

Beliau berkata walaupun kayu pengukur ini ada kebenarannya tetapi perlu berhati-hati kerana kemungkinan yang datang ceramah bukannya pengundi kawasan Tanjung Piai. “Lazimnya kandungan ceramah pembangkang lebih menarik berbanding ceramah pihak kerajaan. Begitu jua kerajaan mengguna segala kelebihan yang dimiliki sebagai pemerintah untuk tarik pengundi umpamanya memberi sumbangan dalam kawasan tertentu,” kata beliau.

Azmi berkata hakikatnya adalah, setakat ini hanya calon PH dan BN yang aktif dan menyerlah sementara calon Berjasa dan Gerakan agak terhad penampilan kerana kekurangan bantuan jentera.

Beliau berkata dua lagi calon bebas sememangnya diduga menghadapi kesukaran untuk bertemu pengundi dan sebab itu jarang kedengaran dalam kempen.

Apa pun kempen sepanjang tujuh hari lalu masih dicemari dan didominasi oleh mesej berbaur kaum dan agama, yang mana ia wajar diketepikan bagi menyuburkan politik demokrasi di Malaysia. Kita jumpa dalam analisis akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.