Mahkamah tertinggi India serah tanah bekas Masjid Babri kepada kumpulan Hindu

Mahkamah tertinggi India serah tanah bekas Masjid Babri kepada kumpulan Hindu

Kumpulan Islam akan diberi tanah alternatif untuk membina sebuah masjid.

Kumpulan Hindu percaya kawasan itu merupakan tempat lahir dewa Ram. (Gambar AP)
NEW DELHI:
Mahkamah tertinggi India menyerahkan hak milik penuh plot tanah kontroversi di bandar Ayodhya kepada kumpulan Hindu, perintah yang mungkin memburukkan lagi polarisasi agama di negara itu.

Buat masa sekarang tanah itu akan diserahkan kepada satu amanah yang akan diuruskan kerajaan persekutuan.

Kumpulan Hindu percaya tanah itu tempat lahir dewa Ram.

Ketua Hakim Negara Ranjan Gogoi, yang mengetuai panel itu, membacakan keputusan tersebut di mahkamah hari ini.

Kumpulan Islam akan diberi tanah alternatif untuk membina sebuah masjid, kata mahkamah.

Keselamatan ditingkatkan di seluruh India ketika mahkamah membacakan keputusannya mengenai pertikaian agama yang berkurun lama dan masih menjadi perhatian dalam pertelagahan politik negara itu.

Tanah seluas 2.77 ekar itu – seluas dua padang bola sepak – terletak di Ayodhya, di mana sebuah masjid dari kurun ke-16 dimusnahkan oleh kumpulan Hindu pada 1992 mencetuskan rusuhan yang membunuh 2,000 orang, kebanyakannya orang Islam.

Peristiwa itu menyediakan lapangan untuk penubuhan sebuah kerajaan nasionalis Hindu enam tahun kemudian.

Keputusan itu akan menguji kebolehan India menangani kes sensitif ketika golongan Hindu yang keras rasa semakin berkuasa.

Janji membina sebuah kuil besar di tapak di Ayodhya itu menjadi perkara penting dalam agenda nasional Perdana Menteri Narendra Modi yang berisiko memburukkan lagi perpecahan sosial di negara itu, yang mempunyai sejarah rusuhan agama.

“Kita serah semuanya kepada Mahkamah Agung dan kerajaan,” kata Iqbal Ansari, seorang plantif dalam kes itu. Bapanya merupakan penjaga masjid itu.

“Apa sahaja keputusan mahkamah, kami akan patuhi,” kata Ansari, mengatakan kerajaan bertanggungjawab untuk menguruskan keadaan selepas keputusan itu.

Pendengaran di Mahkamah Agung berakhir pada 16 Okt selepas 40 hari mendengar hujah ke atas siri rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2010 yang memberikan 1/3 tanah berkenaan kepada Lembaga Wakaf Sunni dan membahagikan selebihnya antara dua kumpulan Hindu – Nirmohi Akhara dan Ram Lalla Virajman.

Usaha Mahkamah Agung mendapatkan suatu penyelesaian di luar mahkamah gagal.

Pertubuhan Islam menuntut tanah itu berdasarkan kewujudan masjid sejak 1528. Kumpulan Hindu pula berhujah Masjid Babri dibina di atas tapak sebuah kuil.

Terdapat tuntutan yang bertarikh 1950 lagi, tidak lama selepas beberapa berhala Hindu muncul dalam masjid itu.

Empat dekad seterusnya kedua-dua pihak ke mahkamah mengenai hak milik tanah dan hak bersembahyang di tanah itu.

Pertelagahan memuncak pada 6 Dis 1992 apabila sekumpulan Hindu memanjat masjid itu dan memusnahkan kubahnya.

Parti Bharatiya Janata menggunakan isu kuil itu untuk meraih sokongan dalam kalangan orang Hindu, meningkatkan jumlah wakil rakyatnya daripada dua orang di Parlimen pada 1984 kepada 120 kerusi pada 1991 dan memimpin kerajaan gabungan pada 1998.

Penganut Hindu mewakili 79.8% daripada 1.3 bilion penduduk, manakala penganut Islam membentuk 14.2%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.