
Dalam satu klip video yang tular, mangsa kelihatan meluru ke arah polis yang ketika itu sedang memaut seorang lagi penunjuk perasaan sebelum anggota keselamatan itu melepaskan tembakan ke arahnya.
Jurucakap Hospital Hong Kong memberitahu mangsa kini berada dalam keadaan kritikal dan sedang menjalani pembedahan.
Dalam satu lagi klip video yang tular, seorang lelaki pertengahan umur cedera parah selepas dibakar oleh perusuh dalam satu kejadian yang berlaku di Ma On Shan hari ini.
Rakaman menunjukkan mangsa dibelasah sehingga berdarah oleh beberapa penunjuk perasaan bertopeng selepas menyatakan pendirian politik yang berbeza dengan penyerang.
Ketika mangsa berhujah dengan penunjuk perasaan terbabit, seorang perusuh berpakaian hitam yang bertopeng telah mencurahkan cecair mudah terbakar ke atas kepala mangsa sebelum bertindak membakarnya.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Prince of Wales dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Kedua-dua insiden itu menyusuli kematian seorang pelajar pada Jumaat lepas sebelum dia terjatuh di parkir kereta berhampiran pusat operasi polis di kawasan Tseung Kwan O di mana pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata.
Tunjuk perasaan di Hong Kong bermula dengan cadangan rang undang-undang ekstradisi yang membolehkan penduduk bandar raya itu diheret ke tanah besar China untuk dibicarakan, namun kemudiannya dibatalkan.
Bantahan itu bagaimanapun berkembang kepada tuntutan demokrasi yang lebih luas dan siasatan bebas terhadap aduan mengenai kekerasan yang dilakukan oleh polis.
Protes antikerajaan yang berlarutan berbulan-bulan itu telah menyebabkan tanah bekas jajahan British tersebut berada dalam krisis terbesar dekad ini, tanpa sebarang tanda menunjukkan ia akan berakhir.