
Kata beliau, kenyataannya itu telah diambil di luar daripada konteks yang sebenarnya.
“Saya telah memberi penjelasan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM dan saya tidak kisah untuk memberikan penjelasan mengenai diri saya juga,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat PPBM yang dipengerusikan oleh Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana.
Faizal berkata, semua pihak seharusnya memberi tumpuan menghadapi pilihan raya kecil Tanjung Piai bagi memastikan kemenangan berpihak kepada calon PH, Karmaine Sardini.
“Semua pihak seharusnya fokus kepada pilihan raya kecil Tanjung Piai supaya calon kita (PH) untuk memastikan Karmaine menang dan ahli Parlimen,” katanya.
Baru-baru ini tular satu klip video menunjukkan Faizal mengakui kepayahan menjaga kepentingan Melayu dan Islam yang didakwa tidak sealiran dengan kehendak sekutunya, DAP.
Dalam perkembangan sama, ketika diminta mengulas desakan permohonan maaf termasuk daripada pimpinan Pakatan Harapan susulan kontroversi itu, Faizal mempersoal sama ada kenyataan beliau itu salah.
“Adalah saya mengatakan sesuatu yang salah,” kata Faizal yang menambah bahawa hubungannya dengan DAP Perak baik.
“Saya semalam di istana dengan kawan-kawan dari DAP, tiada masalah, sangat baik. Kami sambut ulang tahun Tuanku, semua orang dalam keadaan gembira,” katanya.