Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah keluar 21 Nov

Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah keluar 21 Nov

PPSR merupakan suatu dokumen yang melaporkan kejayaan murid pada akhir persekolahan peringkat rendah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Amin Senin. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) bagi murid Tahun 6 boleh diperolehi pada 21 Nov mulai jam 10 pagi di sekolah masing-masing, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Amin Senin.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata waris dibenarkan untuk mengambil dokumen PPSR sekiranya murid tidak dapat mengambilnya sendiri.

PPSR merupakan suatu dokumen yang melaporkan kejayaan murid pada akhir persekolahan peringkat rendah.

PPSR merangkumi Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Psikometrik (PPsi), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi murid aliran perdana dan Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) bagi murid berkeperluan khas (MBK) masalah pembelajaran.

Amin berkata semakan keputusan UPSR dan PASR boleh dilakukan menggunakan perkhidmatan mySMS 15888 dengan menaip UPSR < jarak> AngkaGiliran atau PASR AngkaGiliran dan SMS ke 15888.

“Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula jam 10.00 pagi pada 21 November dan akan ditamatkan pada jam 6.00 petang pada 30 November,” katanya.

Semakan juga boleh dilakukan melalui portal Lembaga Peperiksaan di alamat sppat.moe.gov.my/semakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.