Ribuan kes keganasan rumah tangga tak dilapor pada JKM, kata Hannah

Ribuan kes keganasan rumah tangga tak dilapor pada JKM, kata Hannah

Hannah Yeoh berkata, polis menerima 3,139 kes keganasan rumah tangga berbanding 340 kes yang diterima JKM bagi 6 bulan pertama tahun ini.

Hannah Yeoh berkata, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menangani isu keganasan rumah tangga.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat menerima 340 kes keganasan rumah tangga sepanjang 6 bulan pertama tahun ini, berbanding lebih 3,000 kes yang diadukan kepada polis.

Sebagai perbandingan, polis menerima 3,139 kes berbanding hanya 340 kes yang diterima JKM sejak awal tahun ini sehingga Jun lalu, dengan 316 mangsa wanita dan bakinya lelaki.

“Jumlah yang kita terima hanya 10%, data yang kita ada tidak sebanyak polis, jadi kita perlukan jawatankuasa bagi mendapatkan data-data di setiap kawasan Parlimen untuk melakukan program intervensi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menangani isu keganasan rumah tangga yang biasanya diambil tindakan mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga atau Akta 521.

Yeoh berkata, berdasarkan statistik JKM, Selangor mencatatkan kes tertinggi, iaitu 91 kes atau 27%.

“Diikuti Pahang 56 kes (16%) dan Kedah 34 kes (10%),” katanya menjawab pertanyaan Natrah Ismail (PH-Sekijang) mengenai statistik mangsa keganasan rumah tangga di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.