Menteri kewangan patut disingkir jika kerajaan rombak Kabinet, kata Tuan Ibrahim

Menteri kewangan patut disingkir jika kerajaan rombak Kabinet, kata Tuan Ibrahim

Semalam Dr Mahathir membayangkan akan melakukan rombakan Kabinet sebelum penganjuran sidang kemuncak Apec tahun depan.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
KUALA LUMPUR:
Menteri Kewangan Lim Guan Eng perlu disingkirkan sekiranya rombakan Kabinet benar-benar berlaku, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ini susulan pengumuman Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung kemungkinan berlakunya rombakan Kabinet selepas kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai minggu lepas.

“Saya ingat hari ini (kalau) orang buat ‘survey poll online’ (tinjauan atas talian) dalam masa sejam pun berapa ribu orang sokong menteri kewangan ditukar,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Tambah beliau, PAS menyambut baik cadangan Mahathir untuk merombak Kabinet.

“Lebih cepat lebih baik,” katanya.

Apabila ditanya mengapakah Lim perlu disingkirkan, Tuan Ibrahim berkata, rakyat tahu sebabnya.

“Kalau kita lihat, bahkan saya tengok, keputusan di (PRK) Tanjung Piai pun antara faktor (kekalahan PH) adalah faktor DAP.”

Dalam satu sidang media di Yayasan al Bukhary petang semalam, Mahathir membayangkan akan melakukan rombakan Kabinet sebelum penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun depan.

Pengumuman itu dilihat sebagai peringatan kepada anggota Kabinet sedia ada untuk meningkatkan prestasi mereka dan sebagai langkah memulihkan kembali imej kerajaan.

Mengulas lanjut, ahli Parlimen Kubang Kerian itu mendakwa Lim gagal seorang menteri kewangan dan ia boleh dilihat daripada corak belanjawan negara.

“Sebagai contoh, kalau Pulau Pinang diperuntukkan RM10 bilion untuk pembangunan, hub halal hanya diperuntukkan RM10 juta. Pasaran hub halal berapa bilion? Sepatutnya ia diberikan peruntukan yang banyak,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan yang diagihkan oleh Kementerian Kewangan juga tidak menunjukkan keseimbangan, terutama yang melibatkan negeri di Pantai Timur.

“Apa projek Pantai Timur? Tiada apa yang boleh jadi pemangkin ekonomi.

“Saya tidak cakap hanya Kelantan saja. Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak juga.

“Sabah dan Sarawak dapat dana besar untuk bina sekolah dan jalan raya, oklah. Tapi apa program besar untuk menjana ekonomi?” katanya lagi.

Tuan Ibrahim juga membidas Lim kerana terus menyalahkan kerajaan sebelum ini atas masalah kewangan negara.

“Dah hampir dua tahun asyik salahkan kerajaan lama. Mana-mana kerajaan apabila ambil alih (pemerintahan) kita perlu fokus pada masa depan, bukan hanya lihat perkara yang berlaku di belakang.

“Kita akui ada kelemahan (kerajaan lepas), tetapi harus terus membina,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.