
Ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Aziz Julkarnain menyifatkan kenyataan timbalan pengerusi PPBM Sabah Masidi Manjun bahawa Umno kini semakin rasis dan bersifat keagamaan bagi mendapatkan sokongan sebagai “mengecewakan”.
“Ia kenyataan yang tidak bertanggungjawab. Masidi tidak harus jadi hipokrit. Perlembagaan PPBM, sama seperti Umno, ialah untuk memperjuangkan Islam dan mempertahankan hak orang Melayu dan Bumiputera.
“Apakah PPBM tidak sedar bahawa mereka juga menggunakan kaum dan agama bagi mendapatkan sokongan?
Masidi berpura-pura lupa bahawa sebilangan besar ahli Umno di Sabah terdiri daripada orang bukan Islam. Ini menunjukkan kami kekal seperti dahulu, iaitu inklusif kepada orang bukan Islam dan kaum lain,” katanya di sini.
Pada Ahad, Masidi berkata, kebimbangan utamanya tentang Umno ketika meninggalkan parti itu tahun lepas kini menjadi kenyataan apabila Umno tidak lagi bersifat inklusif selepas mengadakan kerjasama dengan PAS.
Ketika berucap pada mesyuarat PPBM Kota Kinabalu, beliau berkata, semangat inklusif Umno yang menerima semua kaum tidak lagi wujud selepas ia menjadi sebahagian daripada pembangkang.
Aziz berkata, beliau bimbang isu kaum dan agama kini menjadi naratif baru Pakatan Harapan (PH) untuk menyerang pembangkang.
Beliau percaya PH akan menggunakan isu itu untuk menutup kelemahan mereka sendiri sehingga pilihan raya umum akan datang.
Aziz juga mengingatkan Masidi bahawa beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan atas tiket Umno, bukan PPBM.
Beliau memberitahu Masidi bahawa kerjasama Muafakat Nasional antara Umno, PAS, MCA dan MIC adalah hasil daripada kegagalan kerajaan PH mentadbir negara.
“Kerjasama Muafakat Nasional timbul susulan kebimbangan rakyat selepas mereka melihat negara berada dalam masalah.
“Keadaan ekonomi yang semakin merosot dan pertelingkahan dalam kalangan pimpinan tertinggi mengakibatkan kebajikan rakyat diabaikan.”
Dalam pada itu, ketua Umno Tawau Ghazalie Ansing berkata, serangan Masidi terhadap Umno adalah mengejutkan kerana beliau sebelum ini merupakan pemimpin parti itu yang dihormati.
“Mungkin beliau terlupa asal usulnya. Umno Sabah tidak berubah. Ia masih mempunyai ramai pemimpin bukan Islam,” katanya.