
Pegawai WAO, Natasha Dandavat berkata, keadaan itu menunjukkan perlunya penyelarasan lebih baik antara agensi yang bertanggungjawab sebagai penggerak balas pertama.
Katanya, ini bermakna kebanyakan mangsa tidak mempunyai akses kepada perlindungan JKM dan manfaat daripada Perintah Perlindungan Interim (IPO) yang disifatkannya mekanisme utama untuk melindungi mereka.
“Rujukan kepada JKM turut membantu menghubungkan mangsa terselamat kepada perkhidmatan sokongan lain yang penting dalam membantu mereka keluar daripada situasi penderaan.
“Wanita yang tidak mempunyai rangkaian keluarga atau rakan untuk membantu mereka, mungkin tiada tempat dituju dan tiada pilihan kecuali kembali ke rumah mereka didera.”
Pada 21 Nov lalu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh dilaporkan berkata, polis menerima 3,139 kes keganasan rumah tangga berbanding hanya 340 kes yang diterima JKM sejak awal tahun ini sehingga Jun lalu, dengan 316 mangsa wanita dan bakinya lelaki.
Beliau berkata, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan untuk mengumpul data di setiap kawasan Parlimen bagi program menangani keganasan rumah tangga yang biasanya diambil tindakan mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521).
Dandavat berkata, sesetengah mangsa mungkin tidak membuat laporan kepada JKM kerana kurang kesedaran mengenai manfaat IPO dan rumah perlindungan, serta fikir laporan polis sudah mencukupi.
Beliau berkata, penting untuk mangsa dimaklumkan sepenuhnya mengenai mekanisme perlindungan sedia ada dan penggerak balas pertaam perlu latihan khusus.
Katanya, JKM kekurangan sumber untuk menyokong mangsa kerana ada banyak isu sosial lain yang perlu ditangani dan beliau merujuk satu kajian WAO yang mendapati rumah perlindungan JKM kurang digunakan berbanding pusat kendalian badan bukan kerajaan.
Merujuk jawatankuasa yang disebut Yeoh, beliau mencadangkan ia dianggotai pelbagai agensi.
Katanya, ia akan menjadi “cara terbaik” untuk mengisi jurang dalam pengetahuan dan latihan, serta memastikan pendekatan menyeluruh bagi melindungi mangsa.