Lelaki pecah 12 skrin ATM diburu

Lelaki pecah 12 skrin ATM diburu

Kejadian dilaporkan berlaku di cawangan sebuah bank di Jinjang Selatan dan dua bank di Jinjang Utara.

Polis berkata berdasarkan rakaman CCTV suspek lelaki berkulit cerah dengan ketinggian kira-kira 165cm dan berbadan sederhana.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki diburu polis selepas disyaki terlibat kes khianat memecahkan skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di beberapa cawangan bank sekitar Jinjang melibatkan kerugian dianggarkan RM64,000.

Ketua Polis Sentul, Basri Sagoni, berkata sebanyak 12 skrin mesin ATM dipecahkan setakat semalam dan lima laporan diterima berhubung kejadian.

Katanya, kejadian dilaporkan berlaku di cawangan sebuah bank di Jinjang Selatan dan dua bank di Jinjang Utara.

“Kejadian pertama dilaporkan pada 16 Feb oleh seorang juruteknik bank selepas mendapati empat skrin mesin ATM retak semasa menjalankan kerja penyelenggaraan.

“Pada 17 Feb antara 12.24 tengah hari hingga 10.16 malam, polis turut menerima empat lagi laporan berkaitan kejadian khianat pecahkan skrin mesin ATM, dengan dua kes di cawangan sebuah bank di Jinjang Selatan manakala masing-masing satu kes di dua bank berasingan di Jinjang Utara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, modus operandi suspek adalah masuk ke dalam ruang kaunter bank dan terus memecahkan skrin mesin ATM menggunakan objek disyaki batu sebelum melarikan diri.

Katanya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek lelaki berkulit cerah dengan ketinggian kira-kira 165cm dan berbadan sederhana.

“Semasa kejadian, suspek dilihat memakai kemeja lengan pendek kelabu, berseluar panjang, berselipar hitam serta memakai topi keledar berwarna biru dan menaiki motosikal jenis Honda Wave berwarna biru,” katanya.

Basri berkata, tiada unsur jenayah lain seperti cubaan samun dikesan, dengan semua kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03 40482222 atau ke balai polis berhampiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.