Anwar kait tuduhan ‘perbuatan keji’ terhadap ahli politik dengan peralihan kuasa

Anwar kait tuduhan ‘perbuatan keji’ terhadap ahli politik dengan peralihan kuasa

Anwar Ibrahim mengulas kenyataan yang mencadangkan seorang ahli politik kanan melakukan jenayah yang digambarkan sebagai 'perbuatan keji' dan 'tidak bermoral'.

Muhammed Yusoff Rawther dan Anwar Ibrahim.
PETALING JAYA:
Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengaitkan kenyataan seorang lelaki, yang mencadangkan seorang ahli politik kanan melakukan jenayah yang digambarkan sebagai “perbuatan keji” dan “tidak bermoral”, dengan peralihan kuasa perdana menteri.

Beliau percaya ia muslihat untuk menjatuhkan imej menjelang proses peralihan kuasa, yang dikatakan akan berlaku dalam tempoh 2 tahun selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, dan juga kongres nasional tahunan PKR yang akan bermula malam ini.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah tanpa asas tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Setiausaha sulit saya, Shukri Saad akan membuat laporan polis pagi ini berhubung isu yang dibangkitkan dan peguam saya, Ramkarpal Singh juga akan mengutuskan surat tuntutan daripada Muhammed Yusoff Rawther.”

Reaksi ini menyusuli komen di media mengenai suatu akuan berkanun yang dikatakan dibuat oleh Yusoff.

Menurut Anwar, pada suatu tarikh yang didakwa, beliau giat berkempen sempena pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson, serta menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun Kelahiran Mahatma Gandhi ke-150 di Kuala Lumpur.

Semalam, Yusoff, 26, mencadangkan seorang ahli politik kanan melakukan jenayah yang digambarkan sebagai “perbuatan keji, teruk, tersembunyi dan berbahaya, dan tidak bermoral” terhadapnya, pada satu sidang media mengkritik pihak berkuasa kerana tidak bertindak atas laporan polis yang dibuatnya terhadap Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak sebelum ini.

Dia bagaimanapun enggan memberikan butiran dakwaannya, mengatakan ia sebahagian daripada akuan berkanunnya yang masih belum dimaklumkan.

Yusoff, cucu kepada pembela pengguna Pulau Pinang yang terkenal, SM Mohamed Idris, sebelum ini menuduh Farhash, yang juga setiausaha politik Anwar, menyerangnya pada Mei, di pejabat presiden PKR itu di Petaling Jaya.

Sementara itu, setiausaha sulit Anwar, Shukri Saad membuat laporan polis terhadap Yusoff berhubung akuan berkanun di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi siang tadi.

Dia berkata pihaknya akan mengkaji tindakan undang-undang terhadap Yusoff, lapor Sinar Harian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.