
Anwar berharap tiada ahli-ahli parti yang akan berbuat demikian, mengingatkan 83% perwakilan bersetuju untuk menghadiri kongres di Melaka.
“Kalau ada percubaan untuk rosakkan semangat perpaduan oleh mana pimpinan, tindakan tegas akan diambil termasuk pemecatan ahli dan sabotaj kongres ni satu kesalahan yang besar,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.
Beliau juga bersyukur dengan hasil pertemuan dengan Mohamed Azmin Ali semalam. Timbalannya itu mengesahkan beliau dan sekutu akan menghadiri kongres di Melaka.
Perkembangan ini disebalik khabar angin mengenai suatu acara berasingan di ibu negara. Azmin enggan mengulas khabar angin itu yang tular di media sosial sejak awal minggu ini.
PKR bercakaran mengenai kedudukan Azmin sebagai perasmi kongres Pemuda, sehinggalah parti itu mengumumkan beliau akan merasmikan kongres itu esok, selepas timbalan presiden itu menghadiri mesyuarat biro politik semalam.