
Mereka juga mahu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengisytiharkan kongres Pemuda batal dan tidak sah, dan diadakan semula pada tarikh lain.
Pada sidang media di sebuah hotel di sini, Timbalan Ketua Pemuda PKR, Muhammad Hilman Idham mendakwa kongres itu dirampas dan disabotaj.
“Kami sedih kongres yang bermula dengan harmoni semalam dicemari oleh sabotaj yang dirancang terlebih dahulu,” katanya mengulas kekacauan yang menyaksikan aksi tumbuk-menumbuk antara 2 kumpulan dalam PKR.
Tindakan sabotaj itu, katanya, menghalang perwakilan dan pemerhati memasuki dewan kongres.
“Hak mereka untuk menghadiri kongres itu diambil oleh kumpulan pemuda berbaju hitam, yang status keahlian mereka diragui,” katanya, dan menambah beberapa ahli kumpulan itu bawah umur dan tidak mempunyai tag masuk yang sepatutnya.
Hilman mahu pengarah kongres nasional Pemuda, Shukri Razab bertanggungjawab sepenuhnya ke atas tindakan pasukan keselamatan, yang dikenali sebagai Skuad Keadilan.
Beliau berkata Skuad Keadilan menghalang ramai pemimpin parti daripada masuk dan juga mengasari mereka, dan mendakwa ini boleh dilihat dalam video-video yang tular di media sosial.
“Saya dimaklumkan parti meminta Rela menjaga pintu masuk. Kami tak tahu kenapa Skuad Keadilan – kami tak tahu mereka itu dari mana – ditugaskan.
“Siapa yang boleh masuk dan tidak boleh masuk diserahkan sepenuhnya kepada mereka. Bagi saya, ini tidak patut berlaku.”
Terdahulu, Ketua Skuad Keadilan Gary Marimuthu menuduh Hilman membawa masuk pengerusi tetap Pemuda PKR yang dipecat, Mizan Adli Mohd Nor, yang tidak dibenarkan masuk, membawa kepada kekacauan itu.
Hilman berkata Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali bersetuju Mizan akan merasmikan kongres itu dan meletakkan jawatan sebelum kongres memilih pengerusi tetap dan timbalan baru.
Beliau berkata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, yang berkata Mizan tidak perlu berada di situ, patut tahu persetujuan Anwar dan Azmin itu kerana beliau menyertai mesyuarat itu.
“Mizan bukan saja dihalang, dia juga ditarik keluar dan dipukul,” katanya, dan menambah mereka mahu parti bertindak terhadap semua yang terlibat dalam sabotaj itu.
“Kami berharap ibu pejabat menjamin keselamatan semua pemimpin, perwakilan dan pemerhati. Kami tidak mahu datang ke kongres hanya untuk dihalang atau dipukul.
“Kami akan sertai jika ada jaminan.”