Negaraku dalam Mandarin untuk bantu murid faham, bukan acara rasmi, kata KP

Ketua Pengarah Pelajaran, Amin Senin. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Siasatan Kementerian Pendidikan mendapati rakaman klip video murid menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku dalam Mandarin yang tular di laman media sosial berlaku semasa pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Amin Senin.

Penggunaan Mandarin itu bertujuan memberi kefahaman terhadap maksud, tujuan dan adab semasa menyanyikan lagu kebangsaan, katanya dalam kenyataan hari ini selepas kementerian menyiasat dan mendapatkan penjelasan daripada sebuah sekolah di Negeri Sembilan mengenai rakaman itu.

“Ia tidak dilakukan semasa mana-mana acara rasmi di sekolah berkenaan,” katanya.

Kementerian mengingatkan semua sekolah agar sentiasa menggunakan kebijaksanaan dalam melaksanakan perkara-perkara asas terhadap lambang-lambang negara termasuk lagu Negaraku dalam PdP agar tidak disalah anggap oleh mana-mana pihak.

Kementerian turut menegaskan Negaraku tidak boleh diubah atau dipinda dalam apa-apa bentuk sekali pun semasa melaksanakannya dalam mana-mana acara rasmi sekolah dan hendaklah mematuhi Akta Lagu Kebangsaan.

Video berdurasi satu minit 23 saat yang menunjukkan murid menyanyikan lagu Negaraku dalam Mandarin itu didakwa dirakam pada 26 Sept 2018 di sebuah sekolah di Seremban, Negeri Sembilan.