Bank Negara tahu tentang sumbangan Arab Saudi, kata Najib

Bekas perdana menteri, Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan SRC International Sdn Bhd (SRC International) hari ini, bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) dan bekas gabenor Zeti Akhtar Aziz menyedari “sumbangan Arab” yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank beliau antara 2011 dan 2014.

Katanya, beliau ada memberitahu Zeti bahawa beliau menjangkakan dana itu ketika membuka akaunnya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila perbualan tersebut berlaku.

“Dia memberitahu saya dia mengambil maklum mengenainya. Ia adalah suatu kelegaan bagi saya apabila bank pusat itu telah dimaklumkan,” katanya.

Beliau juga memberitahu mahkamah berhubung surat yang memaklumkan kepadanya mengenai sumbangan daripada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah, yang dipindahkan ke akaun AmBanknya yang berakhir 694 antara 2011 dan 2013.

Minggu lalu, beliau memberitahu menerima AS$1.05 bilion daripada Raja Abdullah dalam tempoh itu untuk tujuan “tanggungjawab sosial korporat” dan pilihan raya umum.

“Azlin memperlihatkan kepada saya surat-surat yang diterimanya daripada Jho Low mengenai wang Raja Abdullah,” katanya, merujuk kepada ketua setiausaha sulitnya, Azlin Alias dan ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho.

“Beliau (Low) juga menyerahkan salinan surat kepada AmBank,” katanya.

Najib berkata beliau percaya surat asal masih berada di Pejabat Perdana Menteri, dan beliau memberitahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenainya semasa siasatan dibuat oleh agensi itu.

Ketika ditanya oleh peguamnya, Rahmat Hazlan mengenai pemulangan AS$620 juta daripada jumlah sumbangan AS$680.9 juta yang diterima pada 2013, Najib berkata BNM dimaklumkan supaya ia dapat melakukan urusan yang perlu diperlukan.

Beliau berkata Azlin memaklumkan kepadanya bahawa Raja Abdullah juga memindahkan £9.46 juta secara tunai kepadanya antara Oktober dan Disember 2014.

Beliau berkata wang itu datang daripada Blackrock Commodities Pty Ltd dan Vista Equity International Partners Ltd.

“Saya faham bahawa pemindahan dana itu dilaporkan kepada BNM sebagai sumbangan daripada Raja Abdullah, dan surat itu dibawa kepada perhatian Zeti oleh AmBank,” katanya.

Apabila ditanya sama ada beliau telah memaklumkan Wisma Putra mengenai sumbangan itu dalam kapasiti rasmi, Najib berkata tidak.

“Sumbangan itu bukanlah sesuatu yang saya cuba sembunyikan kerana perkara tersebut telah dimaklumkan kepada AmBank dan semua transaksi dilaporkan kepada BNM dan Zeti,” katanya.

Perbicaraan diteruskan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Najib berdepan 6 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC International.

Beliau juga dituduh menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan kepada pinjaman RM4 bilion SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).